21 JUL : Sumber Manusia Negara akan terkesan sekiranya trend pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tidak menyambung pengajian.
Ia berikutan jumlah yang dianggarkan mereka yang tidak sambung belajar adalah sekitar 300,000 pelajar, khususnya terhadap usaha mencapai 35 peratus tenaga kerja berkemahiran tinggi dalam sektor ekonomi menjelang 2030.
Timbalan Menteri Sumber Manusia Mustapha Sakmud berkata kebanyakan lepasan SPM berkenaan lebih berminat untuk bekerja dalam sektor ekonomi gig atau e-hailing selain sektor pengilangan.
“Trend ini amat membimbangkan dan ia dijangka memberi kesan kepada sumber manusia negara
pada masa depan. Sekarang ini, kita hanya berjaya mencapai sasaran sekitar 28 peratus tenaga kerja berkemahiran tinggi.
“Kita bimbang tidak mampu menjadi sebuah negara maju pada masa akan datang dengan jumlah tenaga mahir yang tidak mencukupi,” katanya.
Sebelum ini, media melaporkan Timbalan Menteri Kewangan Datuk Seri Ahmad Maslan mendedahkan sekitar 300,000 pelajar lepasan SPM tidak melanjutkan pelajaran setiap tahun dan berkemungkinan memilih bekerja dalam sektor kilang atau e-hailing.
Mustapha berkata pelajar lepasan SPM digalakkan untuk bekerja sambil belajar terutama melibatkan kursus jangka pendek bagi memastikan mereka memperoleh sekurang-kurangnya sijil kemahiran dalam bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) untuk masa depan lebih terjamin.
Sehubungan itu, menurutnya kerajaan menerusi Kementerian Sumber Manusia dan Jabatan Tenaga Manusia giat mempromosikan TEVT dalam kalangan pelajar sekolah bagi menarik minat mereka menyambung pelajaran dalam bidang berkenaan.
Katanya kerajaan juga sedang mengkaji gaji progresif yang digunakan di kebanyakan negara termasuk Singapura dalam usaha meningkatkan produktiviti pekerja selain mengekang tenaga kerja negara berhijrah ke luar negara.
Dalam perkembangan lain, Mustapha berkata sebanyak 2,182 kes atau 67 peratus daripada keseluruhan 3,260 kes reperesentasi pemulihan kerja di bawah seksyen 20 Akta Perhubungan Perusahaan 1967 (Akta 177) yang melibatkan penamatan perkhidmatan, berjaya diselesaikan di peringkat jabatan pada tahun ini.
“Daripada jumlah itu, sebanyak 57 peratus atau 1,249 kes berjaya diselesaikan melalui rundingan damai dengan nilai pampasan atau ex gratia sebanyak RM24.9 juta, manakala dalam tempoh 2021 hingga 2023 jabatan berjaya menyelesaikan kes melalui bayaran pampasan atau ex gratia sebanyak RM90.4juta kepada 3,689 orang pekerja.
“Dalam tempoh berkenaan juga, bagi zon selatan pampasan atau ex gratia sebanyak RM13.5 juta dibayar kepada 1,505 orang pekerja,” katanya.