22JUL: Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Seri Salahuddin Ayub telah disahkan mengalami pendarahan otak.
Perkara itu dimaklumkan Setiausaha Akhbarnya, Syakirin Husnal dalam satu kenyataan hari ini dengan memaklumkan, Salahuddin kini sedang menjalani pembedahan di Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar, Kedah.
Beliau pada malam tadi dikejarkan ke hospital selepas mengalami muntah-muntah malam tadi.
KPDN dalam satu kenyataan sebelum itu berkata, Salahuddin yang dijadualkan menghadiri satu program di Alor Setar, Kedah dikejarkan ke hospital jam 10.15 malam tadi.
“Beliau terdahulu mengadu mengalami mual dan muntah-muntah dan tidak dapat menyertai program seperti yang dijadualkan malam tadi.
“Pejabat Menteri KPDN akan memaklumkan mengenai perkembangan kesihatan beliau dari semasa ke semasa,” katanya.