24 JUL : Mengimbas kembali nasihat yang pernah diberikan Allahyarham Datuk Seri Salahuddin Ayub, Ahli Parlimen Bayan Baru, Sim Tze Tzin menceritakan yang Allahyarham telah membiasakan diri untuk memaafkan semua orang yang menyakitinya pada setiap malam.
Katanya, perkara itu menjadi amalan setiap hari dalam kehidupan sehariannya.
“Sim, kamu tahu kenapa saya reda dan senang hati setiap hari?
“Setiap malam, sebelum saya tidur, saya maafkan semua musuh saya dan orang yang menyakitkan hati saya. Barulah saya tidur.
”Ini ajaran bekas bos saya, Datuk Seri Salahuddin Ayub kepada saya. Beliau begitu baik hati dan peramah,” katanya pada hantaran di Facebook.
Salahuddin meninggal dunia di hospital malam tadi, dua hari selepas dia dikejarkan ke hospital berikutan mengalami pendarahan otak.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup itu kembali ke rahmatullah pada usia 61 tahun.
Sim sebelum ini merupakan timbalan Salahuddin ketika ahllahyarham menjadi menteri pertanian dan industri asas tani dari 2018 hingga 2020.
“My heart was broken (hati saya luluh),” katanya lagi.
Rata-rata pemimpin tidak kira kerajaan mahupun pembangkang mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham, termasuklah Presiden Bersatu Tan Sri Muhyiddin Yassin.
“Saya merasa dukacita mendengar perkhabaran ini dan berdoa semoga seluruh ahli keluarga Allahyarham dapat bersabar dan tabah melalui detik mendukacitakan ini,” ujarnya.
Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang juga turut merakamkan ucapan yang sama menerusi laman sosial Facebooknya, hari ini.
“Semoga Allah mengampunkan segala dosanya dan mencucuri rahmat ke atasnya,” kata beliau.
Sementara itu, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata perjumpaan pada minggu lepas merupakan pertemuan terakhir beliau dengan Allahyarham bagi membincangkan beberapa perkara dan memuktamad tiga kerusi Amanah yang bertindih selain jadual kempen Pilihan Raya Negeri (PRN).
“Tiga hari lepas Salahuddin hubungi lagi. Kali ini tetiba bertanyakan khabar kesihatan saya dan ingatkan saya perlu berehat. Semalam, saya ziarah beliau di Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar, Kedah setelah diberitahu keadaan beliau.
“Rupanya itu pertemuan terakhir dan Salahuddin pergi buat selamanya. Saya kehilangan sahabat sejati. Wataknya lemah lembut, tutur bicaranya tersusun, sangat memahami perit jerih rakyat bawahan,” katanya.
Pengerusi DAP Lim Guan Eng pula menyifatkan ketokohan dan jasa Salahuddin menyemai benih harapan untuk masa depan negara.
“Tidak terungkap kesedihan dengan pemergian sahabat dan rakan seperjuangan saya saudara Salahuddin Ayub. Salam takziah untuk keluarga beliau, semoga sabar menghadapi ujian ini,” katanya.