26 JUL: Sentral REIT hari ini menandatangani perjanjian jual beli bersyarat (SPA) untuk mengambil alih bangunan pejabat 27 tingkat yang dikenali sebagai Menara CelcomDigi di Petaling Jaya Sentral dengan harga RM450 juta daripada Puncak Wangi Sdn Bhd (PWSB).
PWSB adalah anak syarikat milik penuh Malaysian Resources Corporation Bhd (MRCB).
Sentral dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia berkata, cadangan pengambilalihan itu dijangka mengembangkan jumlah saiz asetnya sebanyak 21 peratus daripada RM2.15 bilion setakat 31 Disember 2022, kepada kira-kira RM2.60 bilion, setelah selesai pelaksanaan.
“Pembelian hartanah itu akan dibayar sepenuhnya secara tunai yang akan dikumpulkan melalui gabungan ekuiti dan pembiayaan hutang.
“Pelaksanaan pendanaan ekuiti ini membabitkan cadangan penempatan yang merangkumi terbitan sehingga 123.72 juta unit penempatan yang akan diletakkan kepada pelabur institusi yang akan dikenal pasti kelak, pada harga terbitan yang akan ditentukan melalui proses penetapan harga,” katanya.
Sebagai sebahagian daripada cadangan penempatan itu, MRCB telah bersetuju untuk melanggan sehingga 34.57 juta unit penempatan bagi mengekalkan peratusan pegangan unit semasa mereka dalam Sentral, katanya.
Pengerusi Sentral REIT Management Sdn Bhd, Tan Sri Saw Choo Boon, berkata pengambilalihan itu akan mengembangkan lagi portfolio Sentral daripada segi pendapatan, gabungan penyewa serta penyebaran geografi, dan akan memberikan pulangan yang stabil kepada pemegang unitnya.
“Hartanah ini sesuai dengan portfolio semasa Sentral yang terdiri daripada sembilan hartanah komersial,” katanya lagi.