7 OGOS: Dasar Gaji Progresif merupakan satu anjakan ke arah memulihkan pasaran pekerja supaya gaji golongan itu dapat ditingkatkan dengan lebih konsisten serta pengagihan seimbang.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata,model dasar itu telah diusulkan selepas Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) mengambil kira pandangan dan kepentingan pihak majikan dan pekerja.
“Dasar Gaji Progresif itu bersifat sukarela selain berteraskan insentif dan terkait dengan produktiviti. Ianya merupakan pelengkap kepada Dasar Gaji Minimun dan ia akan disusuli dengan garis panduan gaji progresif tahunan bagi setiap sekotor pekerjaan dan peringkat.
“Sesi libat urus dan tinjauan awal telah menunjukkan sebanyak 62 peratus pekerja dan 80 peratus syarikat menyambut baik cadangan Dasar Gaji Progresif dengan ciri-ciri dinyatakan,” katanya dalam satu kenyataan media.
Tambah Anwar, pihaknya akan meneruskan langkah selanjutnya dengan mengadakan sesi perbincangan dan libat urus dengan pihak berkepentingan terutamanya pemain industri, perniagaan dan pekerja.
“Perkara itu akan dibawa kepada jemaah menteri untuk diperhalusi mekanisme pelaksanaan secara berperingkat serta meneroka keperluan memperuntukkan dana sebagai insentif dasar yang ditentukan berdasarkan kedudukan kewangan kerajaan dan keperluan dasar.
“MTEN berpandangan bahawa Dasar Gaji Progresif merupakan salah satu reformasi pasaran pekerja untuk memastikan pekerja Malaysia tidak dibebankan dengan kos sara hidup dan dapat menikmati pekerjaan dengan gaji bermaruah demi kesejahteraan rakyat dan mencapai agenda mengangkat ekonomi negara,” ujarnya.
Dasar atau model gaji progresif akan dibangunkan secara bersama membabitkan Kementerian Ekonomi, Kementerian Kewangan, Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri serta Kementerian Sumber Manusia.
Sistem gaji progresif adalah peralihan daripada model pemberian upah minimum kepada kenaikan gaji secara berperingkat dan berfasa supaya setanding dengan pertumbuhan ekonomi negara.