9 OGOS: Kerajaan bersetuju untuk meningkatkan peruntukan bagi inisiatif dan latihan peningkatan kemahiran (upskilling) kepada penghantar yang diterajui Kementerian Sumber Manusia.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata ikhtiar itu membuktikan kerajaan peka dan mengambil berat akan kepentingan semua pihak dalam meningkatkan penjanaan pendapatan rakyat serta memastikan kesinambungan perniagaan.
“Saya sudah menyampaikan keluhan penghantar terkait dengan isu kadar upah penghantaran. Saya turut mendengar pandangan dan aduan daripada syarikat pengendali yang beroperasi di luar Lembah Klang yang tertumpu kepada perkhidmatan di luar bandar.
“Semua syarikat pengendali sudah memberikan komitmen untuk lebih telus dalam penentuan dan pengiraan upah serta meneliti dan memperhalusi lebih lanjut akan pandangan daripada pihak penghantar berhubung penentuan dan pengiraan kadar upah,” katanya dalam satu kenyataan media.
Tambah Anwar, selain menyampaikan keluhan penghantar berkait isu kadar upah penghantaran, pertemuan berkenaan turut berkisar tentang pendapatan penghantar, jaringan keselamatan sosial serta keperluan latihan peningkatan kemahiran.
“Pertemuan ini turut disertai lima orang wakil daripada penghantar bagi menyatakan pandangan dan mendengar maklum balas pihak syarikat.
“Syarikat pengendali p-hailing sudah memberikan komitmen untuk lebih telus, meneliti dan memperhalusi lebih lanjut pandangan golongan penghantar dalam penentuan dan pengiraan kadar upah bagi mereka,” katanya.
Terdahulu, Perdana Menteri mengadakan perjumpaan dengan 24 syarikat p-hailing susulan komitmen beliau semasa perjumpaan bersama rakan-rakan penghantar pada 22 Julai lalu.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, beliau mahu mendapatkan penjelasan secara langsung daripada syarikat berkenaan berhubung situasi itu yang dilihat agak membebankan pekerja p-hailing.