10 OGOS: Masyarakat Siam beragama Buddha menggesa Penolong Setiausaha Agung PAS, Mohd Syahir Sulaiman memohon maaf secara terbuka atas kenyataannya berkaitan minuman beralkohol dalam agama itu ketika siaran langsung sebuah rancangan debat, malam tadi.
Presiden Dewan Perniagaan Bumiputera Siam Malaysia, Datuk Seri Boon Som Inong berkata, kenyataan dibuat oleh Syahir itu amat keterlaluan, tidak sensitif dan tidak menghormati institusi dan agama Buddha.
“Mohd. Syahir telah membuat kenyataan bahawa ‘sami Buddha menyebutkan minum arak dibolehkan dalam agama Buddha’ tapi Sila kelima di dalam Pancasila menyatakan menahan diri daripada meminum minuman memabukkan.
“Ini merupakan satu penghinaan kepada institusi Sami dan penganut agama Buddha kerana larangan minum arak adalah antara ajaran dasar moral agama Buddha yang dikenali sebagai Pancasila (Lima Sila) dan terkandung di dalam Kitab Tripitaka iaitu kitab suci agama ini.
“Kami percaya setiap agama mengajar pengikutnya melakukan kebaikan dan menghindari kemungkaran. Setiap agama melarang pengikutnya menghina, mencaci, memfitnah, memaki hamun dan mencarut,” katanya menerusi satu kenyataan media.
Dalam pada itu, Boon Som menegaskan bahawa sami sebenarnya adalah institusi yang suci pada sisi agama Buddha kerana ia institusi yang neutral dan tidak mempunyai sebarang kepentingan politik.
Tambah beliau lagi, kenyataan yang dilemparkan oleh ahli Parlimen Bachok itu juga telah melukakan hati dan menimbulkan kemarahan Masyarakat Siam dan Penganut agama Buddha di negara ini .
“Kami juga menyeru supaya seluruh rakyat mengamalkan sikap saling memahami dan menghormati antara satu sama lain kerana ia asas kepada perpaduan masyarakat dalam negara berbilang kaum dan bangsa seperti Malaysia.
“Kami mahu Mohd. Syahir memohon maaf secara terbuka kepada seluruh masyarakat Siam serta menarik balik kenyataan beliau dan jika enggan berbuat demikian, laporan polis akan dibuat terhadapnya,” katanya.
Terdahulu, perdebatan antara Mohd. Syahir dan Menteri Ekonomi Rafizi Ramli malam tadi menjadi tumpuan orang ramai terutama pengundi atas pagar menjelang Pilihan Raya Negeri, Sabtu ini.