11 OGOS: Gabungan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) diyakini akan kembali mentadbir Selangor pasca Pilihan Raya Negeri (PRN).
Ia disuarakan sendiri oleh Ketua Whip Gabungan Parti Sarawak (GPS), Datuk Seri Fadillah Yusof dimana beliau berkata, pembentukan Kerajaan Perpaduan yang terdiri daripada PH, BN dan pelbagai gabungan termasuk GPS telah mewujudkan kestabilan dalam banyak aspek terutamanya politik.
“Pengalaman penggal lepas sewaktu pertukaran kerajaan, ketidakstabilan politik telah menjejaskan kedudukan ekonomi negara kita. Maka, negara ini tidak mampu membangunkan negara dan bantu rakyat.
“Sebab itu saya kira kestabilan ini adalah tunggak segalanya…maknanya kita perlu berpadu. Mewujudkan kestabilan sekarang ini adalah lebih penting untuk rakyat Malaysia,” katanya ketika berucap pada Grand Finale Kita Selangor, malam tadi.
Turut hadir Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim merangkap Pengerusi PH dan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang juga Pengerusi BN.
Hari pengundian bagi PRN membabitkan Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kelantan, Terengganu dan Kedah serta Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kuala Terengganu akan berlangsung pada esok.