11 OGOS: Gabungan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) bersetuju mengisytiharkan Isnin depan sebagai cuti peristiwa buat seluruh rakyat negeri ini sekiranya memenangi Pilihan Raya Negeri (PRN).
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata hal ini kerana pilihan raya esok adalah tarikh penting dalam sejarah negeri kerana rakyat bakal menentukan masa hadapan negeri Selangor untuk tempoh lima tahun akan datang.
“Saya ingin mengumumkan bahawa sekiranya Gabungan Perpaduan yang terdiri daripada PH dan BN berjaya memenangi PRN Selangor pada 12 Ogos ini dan membentuk Kerajaan Negeri Selangor.
“Kita bersetuju untuk isytiharkan cuti peristiwa buat seluruh rakyat Negeri Selangor pada Isnin depan,” katanya ketika menyampaikan amanat khas Menteri Besar Selangor sebentar tadi.
Menerusi ucapan beliau, calon Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Tua itu juga turut berkata, Kerajaan Perpaduan di Selangor akan terus melaksanakan manifestonya dalam tempoh 100 hari selepas dibentuk dengan mengutamakan lima tawaran penting seperti:
- Menghargai wanita bekerja dengan pemberian RM1,000 kepada 5,000 wanita bagi mengurangkan kos penjagaan anak-anak.
- Melaksanakan pengecualian cukai pintu untuk rumah kampung, rumah kos rendah.
- 1,000 mahasiswa Negeri Selangor akan terima baucar buku Kita Selangor bernilai RM 200
- Menaikkan elaun imam (RM1,600), bilal (RM700) dan siak (RM500).
- 500 petani, pesawah dan nelayan akan terima Insentif Pertanian dan Perikanan Kita Selangor berjumlah RM1,000.
Tambah Amirudin, keyakinan Kerajaan Selangor untuk melaksanakan manifesto ini bukan kerana angkuh dan sombong tetapi yakin dengan kemampuan kerajaan negeri ketika ini dan kebijaksanaan rakyat di negeri Selangor memilih pemimpin yang berwibawa.
“Untuk mengangkat Selangor dan rakyatnya ke satu tahap yang lebih gemilang, perlunya ada sebuah kerajaan yang terbukti cekal dan cekap menghadapi cabaran.
“Justeru, Selangor memerlukan pemimpin yang berwibawa mengemudi kerajaan negeri untuk menyelesaikan permasalahan yang dihadapi rakyat dan menawarkan solusi kepada perkara-perkara dan cabaran yang bakal dihadapi,” ujarnya.
Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan esok sebagai hari mengundi enam negeri iaitu Selangor melibatkan 56 DUN, Pulau Pinang (40), Negeri Sembilan (36), Kedah (36), Kelantan (45) dan Terengganu (32).