13 OGOS : Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim meminta gabungan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) untuk menghormati keputusan Pilihan Raya Negeri, yang menyaksikan kedudukan ‘status quo’ di enam negeri terbabit.
Katanya, keputusan tersebut diperoleh daripada sistem demokrasi dan pilihan rakyat haruslah dihormati dengan baik.
“Apa jua keputusan yang diperolehi, semua parti baik menang atau kalah, harus kembali mengukuhkan silaturrahim, menumpu perhatian untuk mengangkat martabat negara, dan terus membela nasib rakyat.
“Bagi pihak Kerajaan Perpaduan dan Kerajaan Persekutuan, yang terus kekal dan kukuh selepas keputusan PRN ini, akan terus berkhidmat. Mulai Isnin, kita akan terus bertugas bukan sahaja seperti biasa, tetapi lebih tekun dan bekerja supaya Malaysia dapat mencipta kejayaan yang dibanggakan,” katanya ketika berucap di Pusat Dagangan Dunia (WTC), Kuala Lumpur, hari ini.
Bagaimanapun, jelas Pengerusi PH itu lagi, sebarang masalah perundangan yang timbul haruslah dilakukan mengikut undang-undang dan peraturan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
Dalam pada itu, Perdana Menteri menzahirkan rasa kesyukuran kerana proses PRN di enam negeri, termasuk PRK di Kuala Terengganu berjalan dengan aman dan teratur, dan merakamkan penghargaan kepada pengurusan dan petugas SPR, serta pihak Polis Diraja Malaysia.
“Ini berlaku kerana muafakat yang tercapai dalam kalangan semua parti (PH dan BN), termasuk rakan-rakan dari Sabah dan Sarawak yang turut memberi dokongan yang baik,” ujarnya.