17 Ogos : Menantu Tan Sri Muhyiddin Yassin, Datuk Seri Muhammad Adlan Berhan serta seorang peguam, Mansoor Saat diingatkan agar tidak memberi alasan dan segera pulang ke negara ini bagi menghadapi siasatan yang sedang dijalankan terhadap mereka.
Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM), Tan Sri Azam Baki berkata beliau tidak mahu lagi mendengar pelbagai alasan.
“Saya tetap dengan pendirian saya. Awak balik saja dan hadapi apa juga siasatan dan jangan bagi banyak alasan, saya tidak mahu dengar.
“Mungkin cakap saya ini, cakap yang orang tidak suka tetapi itulah saya. Jadi awak berdua, balik sahaja dan jangan bagi alasan,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas Forum Eksekutif Merdeka, Tadbir Urus Terbaik Dalam Sektor Awam di Menara Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP), hari ini, lapor Malaysiakini.
Sebelum ini, SPRM mencari Muhammad Adlan dan Mansoor yang juga pengarah serta pemegang saham NERS Sdn Bhd (NERS) bagi membantu siasatan kes penyelewengan projek pendaftaran, pengambilan dan penyimpanan biometrik pekerja asing di sebuah kementerian.
Terdahulu, Muhammad Adlan turut dilapor menegaskan tidak melarikan diri ke luar negara sebaliknya mempunyai urusan dan sudah memaklumkan kepada SPRM tentang tarikh kepulangannya ke negara ini.
Mansoor dalam kenyataannya yang dikeluarkan di Kuala Lumpur juga menyangkal dakwaan melarikan diri daripada menghadapi pertuduhan.
Tegasnya, beliau tidak melarikan diri dan bukanlah seorang pelarian pelarian malah sudah memberi kerjasama kepada SPRM yang mengetahui keberadaannya.
Katanya, tindakan keluar dari Malaysia dibuat secara sah atas urusan perniagaan, namun ia kini digunakan terhadapnya sebagai isyarat seolah-oleh dirinya bersalah.
Semakan rekod mendapati Muhammad Adlan dan Mansoor meninggalkan Malaysia masing-masing pada pada 17 Mei dan 21 Mei lalu dengan tiada rekod kembali ke tanah air setakat ini.