19 Ogos : Proses bedah siasat terhadap 10 mangsa nahas pesawat di Elmina, Shah Alam selesai malam tadi dan kini menunggu hasil padanan asid deoksiribonukleik (DNA).
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata lebih 300 sampel cebisan mayat sudah dihantar ke Jabatan Kimia bagi tujuan padanan DNA dan 30 peratus berjaya diselesaikan.
Menurutnya, seramai 30 pegawai patologi dan forensik terbabit dalam bedah siasat berkenaan.
“Semalam kita mendapat satu padanan DNA yang positif milik penunggang p-hailing Muhamad Hafiz Muhamad Saleh, 32 dan jenazah diserahkan kepada warisnya pada pagi ini.
“Pihak Jabatan Kimia sedang berusaha keras untuk melengkapkan semua padanan DNA dan kita positif semua urusan akan selesai Isnin ini,” katanya pada sidang media di Jabatan Forensik Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), hari ini.
Beliau berkata, selain padanan DNA urusan pengecaman juga dibuat menggunakan rekod pergigian dan cap jari.
“Setakat ini polis berjaya mengenal pasti lapan cap jari mangsa.
“Satu lagi jenazah dijangka dapat dikenal pasti pada hari ini dan boleh diserahkan esok,” katanya.
Hussein berharap waris mangsa nahas dapat menerima keadaan jenazah yang diserahkan kepada mereka kelak.
Katanya, terdapat cebisan-cebisan mayat yang terbakar dan tidak dapat diproses untuk mencari padanan DNA.
“Waris juga harus bersabar kerana proses padanan DNA adalah rumit dan sensitif dan kita mahu semua cebisan mayat diserahkan kepada pemilik yang sebenarnya,” katanya.
Nahas yang berlaku petang kelmarin meragut kesemua kru dan penumpang pesawat termasuk dua orang awam yang melalui kawasan tersebut.