20 OGOS : Pemergian Datuk Seri Johari Harun disifatkan satu kehilangan besar buat rakyat Pahang.
Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, ini kerana Allahyarham seorang yang sangat komited dalm tugas yang dilakukan serta kuat bekerja.
“Setiap minggu, saya bersama rakan-rakan Exco berjumpa dengan beliau.
“Beliau sering mengutarakan masalah di kawasannya, di samping portfolio yang beliau pegang (Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Pahang).
“Saya rasa ini ialah takdir yang tidak dapat dielakkan tetapi memang satu kehilangan buat kami semua di Pahang. Saya percaya ia satu kehilangan yang besar buat rakyat di Pelangai,” katanya ketika ditemui di Gombak, hari ini.
Allahyarham antara mangsa yang terkorban dalam nahas pesawat ringan di Elmina, Shah Alam, Khamis lalu.
Jenazahnya telah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Raudhatul Sakinah Fasa 2, sekitar pukul 12.05 tengah hari tadi.
Wan Rosdy menambah, Kerajaan Negeri telah menyalurkan bantuan awal kepada semua mangsa yang terlibat dalam nahas berkenaan.
Dalam masa sama, beliau turut menzahirkan ucapan terima kasih kepada semua pihak termasuk anggota keselamatan yang terlibat dalam menguruskan nahas berkenaan.
Johari yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelangai antara 10 mangsa tragedi pesawat berkenaan.
Pada Khamis, seramai 10 mangsa disahkan terkorban dalam nahas pesawat jenis jet peribadi itu.
Mangsa terdiri daripada lapan penumpang dan kru pesawat, selain dua orang awam iaitu penunggang motosikal dan pemandu kereta yang kebetulan melalui lokasi nahas
Pesawat itu sedang dalam perjalanan dari Langkawi ke Subang dan mendapat pelepasan untuk mendarat pada jam 2.50 petang.