20 OGOS : Jenis sukan yang bersesuaian dengan murid berkeperluan khas sedang diperincikan oleh Kementerian Pendidikan (KPM) buat masa kini.
Menterinya, Fadhlina Sidek berkata, perkara itu akan dimuatkan sebagai silibus Sekolah Sukan Pendidikan Khas (SSPK) yang dijangka beroperasi pada 2025.
Tambahnya lagi, SSPK itu yang kini dalam proses untuk dibangunkan di Bandar Enstek di Nilai, Negeri Sembilan bertujuan membangunkan potensi sukan pelajar dalam kalangan OKU.
“Kita sudah ada sekolah-sekolah khas untuk murid berkeperluan khas ini termasuk sebagai contoh di Bumbong Lima dekat Pulau Pinang yang memberikan tumpuan terhadap kemahiran anak-anak ini.
“Insya-Allah pada 2025 kita akan mengoperasikan sebuah sekolah sukan untuk mereka yang akan membangunkan potensi sukan, supaya mereka juga mendapat tumpuan dalam soal pembangunan sukan.
“Kategori sukan kita sedang perincikan sebab anak-anak (berkeperluan khas) ini mereka ada sukan yang tertentu, jadi insya-Allah kita akan maklumkan juga dari semasa ke semasa,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas perasmian Karnival Outreach Inklusif dan Kebolehpasaran MADANI Murid Berkeperluan Pendidikan Khas negeri Johor 2023 di Aeon Dato’ Onn, Johor Bahru, hari ini.
Menurut Fadhlina lagi, semua inisiatif dilaksanakan KPM untuk murid berkeperluan khas ini bagi meningkatkan kemahiran agar golongan itu terus bersama-sama dalam mendapat manfaat pendidikan.
“KPM bersama pelbagai agensi sedang meneroka bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) untuk murid berkeperluan khas ini, dan berharap lebih ramai pemain industri bersama-sama untuk memastikan bagaimana potensi murid dapat digarap dalam konteks TVET,” katanya.