21 Ogos : Dua agensi Amerika Syarikat, Pentadbiran Penerbangan Persekutuan (FAA) Amerika Syarikat dan Lembaga Keselamatan Pengangkutan Kebangsaan (NTSB) membantu siasatan berhubung nahas pesawat di Bandar Elmina, Shah Alam minggu lepas.
Media melaporkan wakil NTSB dan FAA serta pembuat pesawat Beechcraft tiba di lokasi nahas pagi ini memeriksa dengan menerbangkan dron dan menilai secara fizikal bangkai pesawat.
Jurucakap CAAM berkata FAA dan NTSB sedang membantu pihak berkuasa tempatan.
“Mereka berada (di lokasi kejadian) sekarang,” kata jurucakap itu.
Tambahnya, pertanyaan lanjut patut diajukan kepada badan penyiasat utama, iaitu Biro Siasatan Kemalangan Udara.
Pesawat Beechcraft Model 390 (Premier 1) itu terhempas di Lebuhraya Guthrie berdekatan Bandar Elmina, Khamis lepas mengorbankan 10 orang, termasuk Exco Pahang, Datuk Seri Johari Harun serta dua orang awam yang kebetulan melalui kawasan nahas.
Pesawat yang dalam penerbangan dari Langkawi ke Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah itu terhempas sebelum mendarat.