21 Ogos : Penganalisis menjangkakan Kadar Dasar Semalaman (OPR) kekal pada paras semasa 3.00 peratus untuk tahun ini memandangkan tekanan harga terus reda.
Firma penyelidikan, TA Securities tidak menjangkakan Bank Negara Malaysia (BNM) akan mengetatkan dasar monetarinya.
Katanya, permintaan domestik dijangka berdepan cabaran dari segi momentum susulan eksport yang lemah memberi kesan kepada pendapatan perniagaan dan menjejaskan pertumbuhan pelaburan, pengambilan pekerja dan upah.
“Kami percaya hasil daripada langkah Belanjawan 2024 dan rancangan jangka sederhana lain seperti Pelan Induk Perindustrian Baharu dan Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-12 mungkin memberi sedikit dorongan kepada sektor perniagaan dan pelaburan,” kata firma itu dalam nota penyelidikannya.
Sementara itu, Kenanga Research juga menjangkakan BNM sudah mencapai akhir kitaran normalisasi dasar monetarinya dan akan mengekalkan OPR pada 3.00 peratus untuk tempoh enam hingga 12 bulan.
Katanya, keluaran dalam negara kasar (KDNK) yang lemah daripada dijangkakan bagi suku kedua 2023 tidak akan mendorong BNM ke arah pengurangan kadar, terutama inflasi teras masih kekal tinggi berbanding purata jangka panjangnya.
“…memandangkan persepsi BNM bahawa pendirian dasar monetari semasa adalah sedikit akomodatif dan menyokong pertumbuhan ekonomi, peluang untuk mengurangkan kadar kelihatan samar,” katanya.
Sementara itu, PublicInvest Research juga menjangkakan OPR akan kekal pada paras 3.00 peratus bagi baki tempoh tahun ini.
Katanya, sebarang perubahan kepada pendirian dasar monetari semasa akan tertakluk kepada penilaian yang rapi berdasarkan penambahbaikan selanjutnya dalam keadaan makroekonomi, terutamanya pemulihan berterusan pasaran pekerjaan dan pengembangan permintaan dalam negeri yang berterusan dan kadar tekanan inflasi.
PublicInvest Research berkata sekiranya ekonomi domestik Malaysia melebihi jangkaan adalah tidak munasabah bagi BNM untuk mempertimbangkan untuk mengoptimumkan alat monetarinya dengan normalisasi secara beransur-ansur Keperluan Rizab Berkanun (SRR) kepada 3.00 peratus pada separuh pertama 2024.