3 calon rebut jawatan Presiden Singapura
23 Ogos : Singapura mengumumkan tiga individu yang layak merebut jawatan Presiden republik itu dalam Pilihan Raya Presiden Singapura, semalam.
Mereka ialah bekas Ketua Pegawai Pelaburan Kumpulan GIC Pte Ltd Ng Kok Song, bekas Ketua Pegawai Eksekutif NTUC Income Insurance Co-operative Ltd Tan Kin Lian dan bekas Menteri Kanan Tharman Shanmugaratnam.
Keputusan itu diumumkan Pegawai Pengurus Pilihan Raya Tan Meng Dui di pusat penamaan calon di Ibu Pejabat Persatuan Rakyat (PA) King George’s Avenue di Singapura.
Pilihan Raya Presiden Singapura ditetapkan pada 1 September 2023.
Selepas pengumuman itu, setiap calon diberikan dua minit untuk menyampaikan ucapan terima kasih kepada penyokong mereka yang berkumpul sejak 10 pagi.
Menurut Ng, beliau bertanding jawatan presiden bagi melindungi tiga khazanah Singapura yang merangkumi pentadbiran awam yang baik.
“Saya sudah bekerja selama 45 tahun dalam perkhidmatan awam. Saya mempunyai pengalaman dan pengetahuan yang diperlukan untuk menegakkan integriti jawatan perkhidmatan awam,” kata Ng.
Bagi Shanmugaratnam, beliau mahukan pertandingan adil, bermaruah dan terhormat yang memberi tumpuan kepada apa boleh ditawarkan kepada rakyat Singapura serta masa depan mereka.
“Kita bimbangkan mengenai masa depan yang berbeza, yang lebih sukar dan mencabar. Saya bertanding untuk menawarkan pengalaman dan keupayaan saya di lapangan selama beberapa dekad di peringkat nasional dan antarabangsa,” katanya.
Sementara itu, Tan berkata beliau mahu memberi peluang kepada rakyat Singapura untuk mengundi presiden yang benar-benar bebas daripada kerajaan yang memerintah.
“Jika saya dipilih, saya akan menjalankan tugas bersungguh-sungguh, jujur dan sebaik mungkin, seperti yang ditetapkan dalam perlembagaan. Tugas-tugas ini adalah untuk melindungi dan menegakkan integriti perkhidmatan awam,” katanya.