24 OGOS : Tiada jaminan mana-mana individu yang menggantikan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi boleh duduk tenang dan tidak diserang mana-mana pihak.
Demikian kata Pengarah Strategik dan Komunikasi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek.
Beliau menegaskan ahli akar umbi UMNO perlu terus mempertahankan institusi presiden parti demi menjaga kepentingan masyarakat Melayu.
“Sesiapa pun yang menjadi pemimpin UMNO, dia akan menjadi sasaran serangan. Oleh itu jangan kita kata sekarang kita tukar Ahmad Zahid maka yang akan naik itu terlepas daripada serangan.
“Sempurna mana pun individu yang akan menggantikan Ahmad Zahid, dia tidak akan terlepas daripada serangan.
“Tidak ada sesiapa pun yang tak kena serang. Tun Razak, Tunku Abdul Rahman, Tun Hussein Onn. Tun Dr Mahathir pun diserang sebagai mahafiraun dan mahazalim,” katanya, ketika berucap Himpunan Solidariti Wanita bersama Presiden ‘Mempertahankan Institusi Presiden’ di Dewan Tun Hussein Onn, Pusat Dagangan Dunia, hari ini.
Turut hadir, Ahmad Zahid, Ketua Wanita UMNO, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad dan Naib Ketua Wanita UMNO, Datuk Norliza Abdul Rahim.
Kira-kira 1,000 Wanita UMNO dari seluruh negara menghadiri program solidariti tersebut bagi menyatakan sokongan kepada Ahmad Zahid yang didesak untuk meletak jawatan kerana didakwa menjadi punca kelemahan prestasi BN pada pilihan raya negeri (PRN), 12 Ogos lalu.
Ahmad Shabery menambah hanya akar umbi yang boleh mempertahankan UMNO kerana parti itu dianggap keramat dan bersejarah.
Sementara itu, pada majlis sama Noraini dalam ucapannya berkata, Ahmad Zahid sewajarnya diberikan mandat bagi memimpin dan memulihkan semula parti sehingga pilihan raya umum akan datang.
Katanya, pemimpin dan ahli UMNO tidak seharusnya terganggu dengan desakan pihak lawan sehingga sanggup berpaling tadah mengharapkan Pengerusi BN itu berundur.
“Selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), kita dihadapkan dengan cabaran baru dalam arena politik negara. Kita ditekan dari pelbagai sudut kerana kerjasama politik yang telah kita tubuhkan dipertikaikan dari dalam dan luar.
“Sebagai ahli yang mencintai parti ini, kita tidak sepatutnya terbawa perasaan yang dimainkan oleh pihak lawan,” katanya.
Tambah Noraini, menukar Presiden UMNO bukanlah tindakan yang tepat pada waktu ini.
Sebaliknya beliau berkata kepimpinan parti itu perlu mengenal pasti apa yang dikehendaki oleh rakyat dalam mendapatkan sokongan mereka semula.
“Kita sedar musuh tidak mahu melihat UMNO bangkit. Setiap peluang dan ruang digunakan untuk menjatuhkan presiden dan parti ini.
“Kita tidak boleh lagi menggunakan kaedah dan strategi yang sama untuk mendapatkan hasil yang berbeza dan ini bukan masa untuk kita salahkan sesiapa. Semua ahli parti perlu mencari cara terbaik bagi memenangi hati rakyat bersama-sama,” katanya.
Pada PRN enam negeri lalu, UMNO yang bertanding di atas tiket BN hanya menang di 19 daripada 108 kerusi DUN yang ditandingi parti itu.
Prestasi BN itu bersamaan dengan 17.6 peratus iaitu paling kecil berbanding parti-parti lain. OLEH : AISYAH BADRUL