25 OGOS: Polis menyiasat majlis pecah tanah yang disertai bacaan doa dan ritual agama lain yang tular, baru-baru ini.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Allaudeen Abdul Majid berkata pihaknya sudah menerima laporan itu pada 22 Ogos lalu.
“Setakat ini, kita terima satu laporan berhubung insiden berkenaan.
“Siasatan berhubung laporan itu dilakukan oleh pihak Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur, hari ini.
Dalam pada itu, beliau turut menyeru kepada masyarakat agar tidak membuat sebarang andaian mengenai kes terbabit.
Beliau turut menasihatkan agar sebelum menyebarkan sesuatu perkara, orang ramai perlu memeriksa terlebih dahulu faktanya.
“Jangan jari jemari terlalu laju untuk tularkan sesuatu isu. Apabila tular, kesannya sangat besar. Semak kesahihan berita dan implikasinya,” ujarnya.
Terdahulu, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) dilapor akan melakukan siasatan lanjut berhubung isu terbabit bagi memastikan amalan itu tidak mengandungi unsur menyalahi pandangan hukum atau fatwa.
Ia berhubung penularan satu video yang memaparkan seorang lelaki disyaki beragama Islam yang mengimami bacaan doa di sebuah majlis disertai upacara keagamaan lain.
Sementara itu, mengulas mengenai insiden tarian gelek separuh bogel di Bukit Bintang di Kuala Lumpur yang tular di media sosial, Allaudeen berkata, pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) sudah mengambil tindakan berhubung isu itu.
“Tindakan sudah diambil oleh DBKL. Malah, premis itu juga sudah ditutup,” katanya.
Sebelum ini, tular satu rakaman video memaparkan beberapa wanita menari tarian gelek dengan pakaian mencolok mata di Bukit Bintang di media sosial.