27 OGOS : Usaha memperkukuh kesepaduan umbi parti komponen dalam Kerajaan Perpaduan menjadi fokus kempen jentera Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai kali ini.
Calon PH, Suhaizan Kaiat berkata, ini kerana penjelasan di peringkat akar umbi khususnya UMNO masih perlu diperkemas meskipun kesepaduan antara jentera PH-Barisan Nasional (BN) sudah berjaya diterjemah.
Tambahnya, masih ada segelintir yang masih kurang memahami dinamika politik hari ini sehingga menolak kerjasama PH-BN berikutan kedua-dua parti itu adalah seteru sebelum ini.
“Dalam tempoh berkempen ini, saya akan turun bertemu pengundi dan akar umbi terutama UMNO untuk memberi penjelasan kepada mereka dan merayu sokongan mereka.
“Di peringkat BN dan UMNO sendiri, pemimpin mereka Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin (Pengerusi BN Johor) juga giat memberi penjelasan kepada akar umbi,” katanya selepas sesi ceramah di Bilik Gerakan PH Dewan Undangan Negeri (DUN) Perling, malam tadi.
Suhaizan juga yakin jika kesepaduan PH-BN terus diperkukuh, kemenangan PH di kerusi Parlimen itu dapat dikekalkan dengan majoriti selesa pada PRK ini.
Terdahulu, ketika berucap pada sesi kempen itu, Suhaizan menasihati jentera PH-BN agar tidak terlalu selesa dengan jumlah majoriti yang diperoleh penyandang kerusi Parlimen Pulai Datuk Seri Salahuddin Ayub pada Pilihan Raya Umum lepas.
“Kita perlu teruskan legasi Allahyarham (Salahuddin) dan tambah baik prestasi kita,” katanya.
Suhaizan berdepan saingan tiga penjuru menentang calon Perikatan Nasional (PN), Zulkifli Jaafar dan Samsudin Mohamad Fauzi yang bertanding sebagai calon Bebas.
PRK Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram diadakan susulan kekosongan luar jangka di kedua-dua kerusi berikutan kematian penyandangnya iaitu Salahuddin yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup pada 23 Julai lepas.
Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan PRK bagi kedua-dua kerusi diadakan serentak dengan pengundian awal pada 5 Sept dan hari mengundi pada 9 Sept.