27 OGOS : Kerajaan menafikan dakwaan berhubung pemberian status kerakyatan kepada 54,000 warga China.
Perkara itu ditegaskan Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil menerusi sebuah video yang dikongsikan di laman Facebooknya dengan menjelaskan angka itu sebenarnya adalah jumlah keseluruhan permohonan yang diterima dari 2017 hingga 2022.
Penegasan itu sekali gus menjelaskan dakwaan itu sama sekali tidak benar.
“Itupun hanya setelah seseorang itu memenuhi syarat yang diperuntuk mengikut Bahagian III Perlembagaan Persekutuan Kaedah-Kaedah Kewarganegaraan 1964. Semak dulu, hentikan fitnah,” katanya.
Terdahulu, Saifuddin Nasution menafikan dakwaan bahawa kementeriannya sedang dalam proses memberikan kerakyatan Malaysia secara besar-besaran kepada warga asing terutama dari China.
Beliau turut menyifatkan perkara itu sebagai satu tohmahan dahsyat yang dilontar tanpa rasa tanggungjawab sehingga memberi kesan terhadap usaha kementerian menyelesaikan isu permohonan kewarganegaraan ketika ini.
Sebelum ini, Jabatan Pendaftaran Negara menafikan dakwaan yang tular di media sosial kononnya 54,000 warga China dalam proses diberikan kewarganegaraan untuk menjadi pengundi DAP.