27 OGOS: Program Jualan Ehsan Rahmah (JER) terus menjadi pilihan ramai penduduk Kampung Melayu Ampang, dengan berharap ia dapat diadakan setiap minggu bagi membolehkan mereka merancang perbelanjaan harian.
Seorang suri rumah Rashidah Abdul Rashid, 43, berkata, dengan hanya berbelanja RM70, beliau dapat membeli lebih banyak barangan basah dan kering, berbanding membeli di kedai runcit yang belum tentu cukup walaupun sudah berbelanja RM100.
“Program ini sangat membantu masyarakat terutamanya golongan B40 kerana dapat keperluan barangan mentah seperti ayam, daging, telur dan minyak masak…dengan berbelanja hari ini saya dapat berjimat untuk tempoh seminggu atau dua minggu.
“Kalau ada program macam ini selalu dan berhampiran pula dengan kawasan perumahan, ia sangat memudahkan masyarakat untuk membeli barangan terutamanya seperti saya seorang suri rumah,” katanya ketika ditemui Bernama di Kampung Melayu Ampang, hari ini.
Antara barangan ditawarkan dengan harga RM10 adalah seekor ayam, daging 1 kilogram (kg), ikan 1kg, telur satu papan gred B, beras 10 kg dan minyak 5kg (RM25) serta terdapat barangan keluaran PKPS seperti sardin, sos cili dan gula.
Sementara itu, pesara swasta Eddie Yap, 55 berkata, ini kali ketiga beliau menyertai program berkenaan dan sangat berpuas hati dengan tawaran harga diberikan, namun beliau berpendapat inisiatif itu perlu dihebahkan dengan lebih meluas.
“Ini kali ketiga saya datang ke program ini, memang bagus dan mesti diteruskan kerana ramai yang dapat manfaat, cuma saya lihat rata-rata yang datang adalah bangsa Melayu dan kurang kaum Cina.
“Saya pun tidak pasti mengapa, sebab saya sudah berkongsi maklumat dengan rakan-rakan dan jiran. Mungkin penganjur program perlu membuat hebahan lebih banyak,” katanya yang tinggal di Ampang Jaya.
Sementara itu Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Antarabangsa Mohd Kamri Kamaruddin berkata, program hari ini adalah kali ketiga dalam tempoh sebulan ini, atas usaha ketua kampung yang memahami keperluan rakyat terutama golongan B40.
“Sambutan terhadap program ini sangat hebat. Malah ada yang datang luar dari kawasan kampung ini.
“Sekarang pihak saya memang sentiasa berhubung dengan PKPS untuk mencari slot kekosongan bagi program sebegini untuk dilaksanakan. Dalam tempoh terdekat ia akan diadakan di Bukit Antarabangsa dan pada minggu hadapan pun ada lagi (di kawasan Bukit Antarabangsa),” katanya.