PM umum RM2 bilion untuk Fasiliti Peralihan Tenaga Negara
29 OGOS: Kerajaan telah memperuntukkan sebanyak RM2 bilion sebagai dana asas bagi menggerakkan Fasiliti Peralihan Tenaga Nasional.
Perkara itu diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini sebagai kemudahan untuk menggerakkan sumber tenaga negara dengan membolehkan gabungan kewangan.
Kata beliau, ia juga bagi memastikan kelancaran sumber kewangan menerusi projek peralihan tenaga yang mempunyai masalah pinjaman atau potensi pulangan di bawah pasaran.
“Keadaan semasa Malaysia dalam teknologi penyahkarbonan masih belum matang yang juga menyaksikan kemajuan kita akan terus bergantung kepada sumber tenaga alternatif serta kemantapan kerjasama serantau dan antarabangsa.
“Sehubungan itu, kerajaan akan memperuntukkan RM2 bilion sebagai dana asas untuk Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Nasional (NETR).
“Saya berikan contoh, misalnya pelaburan dalam sektor rantaian nilai kenderaan elektrik (EV), hidrogen dan teknologi pemerangkapan, penggunaan dan penyimpanan karbon (CCUS),” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapannya ketika Persidangan Peralihan Tenaga TNB 2023 berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), hari ini.
Turut hadir sama ialah Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli bersama Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad.
Dalam pada itu Anwar yang juga Menteri Kewangan melancarkan NETR pada majlis sama berkata, kerajaan akan melancarkan program pengubahsuaian utama untuk meningkatkan kecekapan tenaga di bangunan-bangunan kerajaan.
Katanya, ia adalah sebahagian daripada inisiatif penyelesaian jangka panjang yang dilihat berkesan dalam menguruskan penggunaan tenaga sekali gus mengurangkan pelepasan karbon.
“Dalam hal ini, platform syarikat-syarikat perkhidmatan tenaga (ESCO) akan diwujudkan untuk menghubungkan ESCO swasta yang kebanyakannya adalah Perusahaan Kecil dan Sederhana (SME) dengan projek-projek kerajaan.
“Peranan utama platform ini adalah sebagai perantara yang menggabungkan projek pengubahsuaian bangunan kerajaan dan menggalakkan penyelarasan awam-swasta dalam pasaran ESCO,” katanya.
Katanya, Majlis Tenaga Negara akan diaktifkan bagi memastikan pembangunan dasar dan perancangan tenaga yang holistik sambil memantau kemajuan NETR.
“Saya secara peribadi akan memastikan Majlis ini berfungsi seperti diamanahkan. Langkah berikut (seterusnya) ini penuh bermakna.
“Kita akan buktikan peluncuran strategi (NTER) dan ia mesti diselusuri dengan tindakan serius oleh kementerian dan rakan yang bertanggungjawab,” katanya.
Melalui perkongsian di akaun Facebook, Anwar berkata pembangunan kerangka NETR itu didasari empat prinsip utama iaitu aspirasi dan komitmen negara mengenai perubahan iklim serta pembangunan sosio ekonomi; aspek keadilan, keterangkuman dan kecekapan kos; tatakelola yang berkesan dan pendekatan keseluruhan negara; dan berdampak tinggi serta menyediakan peluang pekerjaan serta keterlibatan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dalam ekosistem rantaian nilai sektor tenaga.
Tambahnya, NETR menggariskan enam pemacu peralihan tenaga iaitu kecekapan tenaga (EE), tenaga boleh baharu (TBB), hidrogen, biotenaga, mobiliti hijau dan pemerangkapan, penggunaan dan penyimpanan karbon (CCUS).
Selain itu katanya, pemboleh daya silang juga sudah dikenal pasti iaitu pembiayaan dan pelaburan, kebijakan dan peraturan, modal insan, infrastruktur dan teknologi serta persoalan tatakelola.
*FOTO : AFIQ HAMBALI/Pejabat Perdana Menteri