29 OGOS: Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul sedang mempertimbangkan untuk melaksanakan pemotongan elaun ahli Parlimen yang gagal hadir ke persidangan Dewan Rakyat.
Beliau berkata, langkah tersebut boleh mengatasi isu wakil rakyat yang ponteng daripada tugas mereka.
Speaker Dewan Rakyat itu berkata sudah wujud gesaan agar Peraturan Tetap Parlimen dipinda bagi memudahkan pelaksanaan langkah-langkah tersebut.
“Jika kamu tidak datang (sekurang-kurangnya) untuk beberapa jam sehari, kamu tidak dapat elaun untuk hari berkenaan. Saya fikir itu adalah idea yang baik.
“Mereka (ahli Dewan Rakyat) mesti meluangkan masa tertentu di dalam dewan sebelum layak mendapat elaun harian yang dibayar,” katanya dalam temubual bersama akhbar bahasa Inggeris, The Star.
Selain itu, Johari turut menjelaskan konsep itu akan dibentangkan kepada jawatankuasa yang dipengerusikannya dan membabitkan pelbagai pihak sebagai wakil termasuk wakil dari pihak yang berlainan.
Ketika ini seorang ahli Parlimen boleh menerima elaun RM400 sehari untuk menghadiri sesi di Parlimen.
Mengikut peraturan juga sesuatu sidang memerlukan kehadiran sekurang-kurangnya 26 daripada 222 ahli Dewan Rakyat untuk membolehkan sidang berjalan.
Kata Johari, terdapat sesetengah ahli terbabit hanya hadir di dalam Dewan Rakyat untuk kira-kira lima minit sebelum keluar dan tidak masuk semula untuk mengikuti sidang yang berjalan.
Berdasarkan rekod kehadiran dalam Hansard untuk mesyuarat Dewan Rakyat pertama tahun ini, 97 ahli Parlimen mencapai rekod kehadiran yang sempurna, dengan majoritinya adalah daripada Perikatan Nasional (PN).
Bekas Ahli Parlimen Sungai Petani itu juga menekankan, orang ramai turut menzahirkan kebimbangan mereka terhadap keculasan ahli Parlimen yang kerap ponteng menerusi media sosial mereka.
Mengeluh mengenai masalah itu, Johari berkata ahli Dewan Rakyat sebagai penggubal undang-undang sepatutnya menghadiri sidang yang berjalan bagi membolehkan isu yang dihadapi pengundi sesebuah kawasan dibincang dan diselesaikan.
“Mereka bertanya kenapa ahli Parlimen kita tidak hadir tanpa sebab, terutamanya semasa Waktu Soalan Perdana Menteri pada setiap Selasa.
“Saya fikir pada sesi itu kehadiran Dewan Rakyat harus penuh kerana Perdana Menteri ada di sana. Perdana Menteri bersedia menjawab soalan.
“Pada hari Khamis pula, ada Waktu Pertanyaan Menteri. Pada masa itulah ahli Parlimen patut mengambil kesempatan dengan menghadiri (sidang Dewan Rakyat),” katanya.
Dalam keadaan sekarang, kata Johari beliau tidak memiliki banyak kuasa untuk mengambil tindakan ke atas wakil rakyat terbabit.
Johari juga mengakui isu itu memang mengaibkan untuk dibangkitkan kerana setiap ahli Parlimen sepatutnya cukup matang dan tahu akan tanggungjawab masing-masing.