1 SEPT : Bekas Perdana Menteri Thailand, Thaksin Shinawatra, 74 yang sedang menjalani hukuman penjara lapan tahun mengemukakan permohonan pengampunan diraja.
Menteri Kehakiman, Wissanu Krea-ngam memaklumkan menerima permohonan tersebut namun tidak memberikan maklumat lanjut sama ada permohonan itu dibuat Thaksin atau keluarganya.
“Kami telah menerima (permohonan), selebihnya akan mengikut prosedur,” katanya menurut Bangkok Post.
Katanya, tempoh proses itu bergantung kepada pertimbangan Raja di mana mungkin mengambil masa antara satu hingga dua bulan bergantung kepada jumlah dokumen yang dikemukakan.
Di Thailand, mengikut proses permohonan pengampunan selepas banduan mengemukakan permohonan kepada menteri kehakiman melalui jabatan pemulihan, menteri kemudiannya akan memanjangkan permohonan itu kepada perdana menteri.
Perdana menteri akan mengajukan permohonan itu kepada majlis privy untuk mendapatkan cadangan sebelum diserahkan kepada Raja Maha Vajiralongkorn.
Pada 22 Ogos lalu, Thaksin kembali ke Thailand selepas 15 tahun hidup dalam buangan dan pada hari sama beliau tiba di tanah airnya itu, Mahkamah Agung menjatuhkan hukuman penjara lapan tahun terhadapnya atas tuduhan rasuah.
Pada hari pertama di wad perubatan di Penjara Reman Bangkok, beliau dimasukkan ke Police General Hospital kerana masalah kesihatan selepas mengadu sakit dada, darah tinggi, tahap oksigen dalam darah yang rendah dan insomnia.
Pegawai perubatan penjara berkata Thaksin memerlukan pemantauan rapi.
Awal minggu ini, kumpulan anti-Thaksin menentang percubaan Thaksin untuk mendapatkan pengampunan diraja kerana bagi mereka kes rasuah merosakkan tadbir urus dan reputasi negara dengan teruk maka tidak sepatutnya ada pengampunan.
Kepulangan Thaksin berlaku hanya beberapa jam sebelum Srettha Thavisin dari Parti Pheu Thai dipilih sebagai Perdana Menteri Thailand yang baharu.
Pheu Thai merupakan parti yang disokong Thaksin itu membentuk kerajaan campuran dengan 11 parti lain termasuk dua pesaing, Palang Pracharath Party (PPRP) dan United Thai Nation (UTN) yang ada hubungan dengan tentera.
Ini sekali gus mencetus spekulasi bahawa perjanjian telah dibuat untuk mengurangkan hukuman penjara terhadap Thaksin.