1 SEPT : Pemuda UMNO akan membuat laporan polis berkait isu ‘memo dalaman’ Pejabat Peguam Negara yang bocor namun masih tiada siasatan dijalankan terhadap kesahihan dokumen itu.
Ketuanya, Dr Akmal Saleh berkata, kegagalan Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun yang bercuti tanpa menyiasat kesahihan dokumen enam pertuduhan terhadap Datuk Seri Najib Razak itu boleh menjejaskan keyakinan rakyat kepada sistem perundangan negara.
“Atas dasar prihatin dan memegang teguh kepada Rukun Negara ke-3 dan ke-4, Keluhuran Perlembagaan dan Kedaulatan Undang-undang, laporan polis bagi mendesak satu siasatan dijalankan dan tindakan wajar diambil untuk mengembalikan keyakinan orang awam terhadap sistem perundangan Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.
Dalam pada itu, Akmal berkata tindakan peguam negara mengumumkan bercuti tanpa memberikan hasil siasatan menyebabkan isu ini tergantung tanpa ada sebarang jawapan.
“Sehingga ke hari ini, tidak ada mana-mana pihak yang boleh mengesahkan kesahihan dokumen tersebut.
“Ini secara tidak langsung memberikan impak negatif kepada tahap keyakinan orang awam kepada Jabatan Peguam Negara,” katanya.
Pada 18 Ogos lalu, Akmal dilapor mendesak supaya satu siasatan dijalankan berkenaan kesahihan dokumen yang didakwa ‘memo dalaman’ Jabatan Peguam Negara bertarikh 10 Oktober 2019
Bagaimanapun beliau kecewa apabila Jabatan Peguam Negara mengumumkan Idrus kini sedang bercuti sehingga beliau bersara pada 6 September ini. OLEH AISYAH BADRUL