3 SEPT : Program subsidi minyak masak bersasar akan dilaksanakan secara berperingkat mulai tahun hadapan.
Timbalan Menteri Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Fuziah Salleh berkata, antara golonhan yang turut tersenarai adalah penjaja kecil seperti penjual pisang goreng, karipap, keropok lekor dan ayam gunting.
Bagaimanapun, katanya lagi, pihaknya sedang mengemas kini pangkalan data senarai penerima subsidi bersasar tersebut yang dijangka siap hujung tahun ini.
“Kita sudah berada di landasan yang betul. Kita sudah kenal pasti kumpulan sasar (penerima subsidi minyak masak bersasar), kita sudah kumpulkan pangkalan data.
“Data ini akan diintegrasi dan diekstrak (penerima subsidi minyak masak bersasar),” katanya ketika ditemui selepas melancarkan Jualan Rahmah Bergerak dan Aduan Suri peringkat negeri Perak di Dewan Bandaran Gopeng, hari ini.
Dalam pada itu, beliau berkata, sebuah pasukan khas akan menyiasat aduan kekurangan minyak masak bersubsidi di pasaran seluruh negara ketika ini.
Menurutnya, setiap bulan sejumlah 60,000 tan metrik minyak masak bersubsidi disediakan kerajaan untuk golongan sasar.
Katanya, sepatutnya jumlah itu lebih daripada keperluan kumpulan sasar kerana berdasarkan kajian, setiap isi rumah memerlukan 4.8 kilogram minyak masak sebulan.
Sementara itu, Fuziah berkata, KPDN tidak akan berkompromi terhadap kes berulang pembelian bersyarat barangan kawalan, khususnya gula dan minyak masak peket bersubsidi.
Denga sehingga RM5 juta atau penjara atau kedua-duanya boleh dikenakan, jika sabit kesalahan, di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961.
“Saya menyarankan semua yang menjadi mangsa, sama ada peringkat peruncit, peringkat pemborong, harus ke depan kerana kita tidak ada toleransi kalau sekiranya ia datang dari peringkat lebih tinggi dan akhirnya peruncit yang kena tangkap sebab aduan oleh pengguna,” katanya.
Menurutnya, setakat ini KPDN menerima 71 aduan seluruh negara mengenai pembelian bersyarat ke atas barangan kawalan.
Daripada jumlah itu, 17 kes telah diambil tindakan manakala enam lagi masih di dalam siasatan.
Beliau menasihatkan pengguna agar memanfaatkan saluran aduan yang disediakan pihak kementerian dalam usaha membanteras salah laku peniaga yang menyalahi undang-undang.