4 SEPT : UMNO berharap titik-titik hitam dalam sejarah perundangan negara sehingga sistem dan institusi keadilan negara begitu mudah diperalatkan dinoktahkan.
Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata keadaan itu membawa kepada ketidakstabilan politik di negara ini.
“UMNO berpendirian tegas agar di bawah Kerajaan Perpaduan ini, segala pendakwaan politik yang memperalatkan institusi-institusi yang menjadi benteng kepada sistem keadilan negara tidak lagi berulang.
“Jabatan Peguam Negara dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mesti terus bebas dan berani melaksanakan amanah melaksanakan keadilan tanpa rasa takut dan pilih kasih terhadap mana-mana pihak,” kata beliau menerusi satu kenyataan media, hari ini.
Hari ini, media melaporkan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur melepas tanpa membebaskan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid daripada semua 47 pertuduhan pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram membabitkan dana Yayasan Akalbudi.
Pada 23 September 2022, Mahkamah Tinggi Shah Alam turut membebaskan dan melepaskan Zahid terhadap 40 kes pertuduhan yang dikenakan terhadapnya.
Sementara itu, Asyraf berkata UMNO turut menzahirkan kesyukuran atas keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang membebaskan Presiden UMNO itu, hari ini.
Jelas beliau, keputusan itu dibuat selepas mahkamah mengambil kira keputusan Peguam Negara untuk memberhentikan pendakwaan ke atas semua kes pertuduhan itu sekali gus membersihkan nama baik timbalan perdana menteri itu.
“Sejak awal lagi UMNO yakin dan percaya Zahid adalah mangsa pendakwaan politik yang dilakukan ketika Tun Dr Mahathir Mohamad dilantik kali kedua sebagai Perdana Menteri ketujuh selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).
“Lebih mendukacitakan, kezaliman terhadap Zahid berlaku hanya beberapa minggu selepas Dr Mahathir selaku Pengerusi Bersatu waktu itu mengancam supaya Presiden UMNO membubarkan parti ini dalam pertemuan yang diakui sendiri oleh bekas Perdana Menteri itu dalam satu temuramah media.
“Ini diperkukuhkan lagi dengan pendedahan berani dan berbaur angkuh bekas Peguam Negara, Tommy Thomas dalam buku memoirnya ‘My Story: Justice in the Wilderness’ yang dengan jelas memperakui terlibat secara langsung dalam mengatur beberapa pendakwaan terpilih terhadap individu politik berpengaruh bersama Dr. Mahathir waktu itu,” katanya.
Dalam masa sama, Asyraf menyifatkan tindakan mengesahkan satu memo taklimat yang tular beberapa minggu lalu yang disediakan Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Akram Gharib ketika Tommy masih memegang jawatan Peguam Negara tidak wajar berlaku.
Ujar beliau, memo yang menggemparkan itu telah mencadangkan tiada apa-apa pertuduhan boleh dibuat ke atas Zahid kerana tiada sebarang keterangan dan bukti menjurus kepada sebarang perlakuan jenayah.
“Namun hanya dua hari selepas tarikh memo tersebut dibentangkan kepada Peguam Negara waktu itu, pendakwaan tetap dilakukan bagaikan tergesa-gesa seperti ada tangan ghaib berniat jahat yang membuat pengarahan.
“Dengan keputusan hari ini, semakin jelas kerakusan kepimpinan Dr Mahathir dan Bersatu yang sanggup menganiayai pemimpin UMNO termasuk Zahid.
“Mereka memperkakaskan institusi perundangan di negara ini demi gelojak nafsu dan dendam untuk menghancurkan UMNO dan kononnya boleh menggantikan UMNO dalam perjuangan Islam dan Melayu,” katanya. OLEH : AISYAH BADRUL