5 SEPT : Proses pengundian awal bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai secara rasmi bermula jam 8 pagi, hari ini.
Seramai 927 pemilih terdiri daripada pegawai polis dan anggota bakal menunaikan tanggungjawab di dua pusat pengundian awal iaitu di Markas Pasukan Polis Marin Wilayah Dua dan Balai Polis Kempas.
Seramai 881 pemilih akan mengundi di Markas Pasukan Polis Marin Wilayah Dua manakala 46 pemilih di Balai Polis Kempas.
Pusat mengundi di Balai Polis Kempas akan ditutup 12 tengah hari ini manakala Markas Pasukan Polis Marin Wilayah Dua ditutup 5 petang nanti.
Terdapat dua Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam Parlimen Pulai iaitu Perling dan Kempas.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh pengundian awal pada hari ini manakala hari pengundian Sabtu ini.
Namun tiada pengundian awal untuk kerusi DUN Simpang Jeram yang merekodkan 40,379 pengundi berdaftar layak mengundi.
Sementara di PRK Pulai, seramai 166,653 pengundi berdaftar yang layak mengundi direkodkan.
PRK ini diadakan susulan penyandangnya, Datuk Seri Salahuddin Ayub yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) meninggal dunia pada 23 Julai lalu.
Parlimen Pulai menyaksikan pertembungan tiga penjuru antara calon Pakatan Harapan (PH), Suhaizan Kayat; calon Perikatan Nasional (PN), Zulkifli Jaafar dan calon Bebas, Samsudin Mohamad Fauzi.
Manakala Kerusi DUN Simpang Jeram turut berlaku pertembungan tiga penjuru antara calon PH, Nazri Abdul Rahman; calon PN, Dr Mohd Mazri Yahya dan calon Bebas, S Jeganathan.