5 SEPT : Kementerian Pertanian Keterjaminan Makanan (KPKM) memberi jaminan pengeluaran beras putih tempatan di seluruh negara dapat dipulihkan dalam tempoh sebulan menerusi Program Khas Beras Putih Tempatan (BPT).
Menterinya, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata langkah intervensi melalui program tersebut akan meningkatkan lebih 20 peratus kuota pengeluaran beras di pasaran di seluruh negara.
Beliau menasihatkan pengguna agar tidak terlalu risau dan panik sehingga melakukan pembelian beras putih tempatan secara berlebihan.
“Menerusi Program Khas BPT ini, bekalan beras putih tempatan akan dapat dipulihkan dalam tempoh sebulan.
“Pada masa yang sama, pemantauan berterusan akan dilakukan melalui kolaborasi bersepadu dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) melalui Op Jamin,”katanya pada sidang media selepas melakukan tinjauan stok keterjaminan makanan di sebuah pasar raya di Tampoi, hari ini
Turut hadir, Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Lokman Hakim Ali.
Terdahulu, pemborong dan pengilang beras negara dilapor perlu bekerjasama dengan melakukan langkah intervensi bagi memulihkan bekalan beras di pasaran dengan meningkatkan bekalan BPT sebanyak 20 peratus menerusi Program Khas Beras Putih Tempatan.
KPKM sebelum ini dilapor memaklumkan hasrat itu telah dipersetujui pengilang padi dan pemborong beras dalam satu sesi libat urus pada 27 Ogos lalu di Alor Setar, Kedah.
Dalam pada itu, Mohamad yang juga Ahli Parlimen Kota Raja berkata pihaknya juga yakin projek tanaman beras SMART SBB Mini Sekinchan MADA-BERNAS akan dapat meningkatkan lagi pengeluaran beras sekali gus memastikan bekalan BPT negara dapat ditambah.
“Jika dilihat hasil SMART SBB Mini Sekinchan ini hasil pengeluaran BPT sudah meningkat kepada lebih tiga tan kepada 14 tan berbanding hanya 11 tan semusim.
“Tahun hadapan kementerian akan meningkatkan peruntukan bagi padi beras bagi memastikan infrastruktur pengairan sawah mencukupi bagi meningkatkan produktiviti penghasilan BPT selain menambah satu lagi musim penghasilan beras kepada lima musim dalam tempoh dua tahun,” katanya.
Tambahnya, satu sesi libat urus dengan pengilang dan pemegang teruh industri beras negara bakal diadakan pada Khamis ini.
Tambah beliau, kementeriannya juga bakal mengadakan sidang media khas selepas sesi itu bagi menerangkan kaedah dan mekanisme penyelesaian jangka pendek dan panjang bagi menangani isu BPT.