Semua peguam dipecat, petisyen cabar Parlimen Gua Musang batal
5 SEPT : Petisyen pilihan raya mencabar keputusan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) bagi Parlimen Gua Musang dibatalkan selepas pempetisyen memecat kesemua peguam mewakilinya.
Mahkamah Pilihan Raya, Datuk Amarjeet Singh Hakim membatalkan petisyen tersebut dalam prosiding hari ini.
Peguam, Yusfarizal Yussoff yang mewakili Mohd Azizi dilaporkan berkata mahkamah dimaklumkan bahawa wakil Tengku Razaleigh selaku pempetisyen, Mohd Azmi Mahmood telah memecat semua peguam termasuk Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah dan Datuk Mohd Hafarizam Harun.
Mahkamah juga dikemukakan surat daripada Azmi kepada firma guaman, Tetuan Hafarizam Wan & Aisha Mubarak bertarikh semalam yang memaklumkan pemecatan peguam terbabit.
Pada PRU15 lalu, Tengku Razaleigh Hamzah yang menyandang kerusi Parlimen itu sejak tahun 1974 kalah dengan majoriti tipis 163 undi kepada Datuk Mohd Azizi Abu Naim dari Perikatan Nasional (PN).
Azmi memfailkan petisyen itu pada 3 Januari lalu susulan dakwaan wang dibayar kepada beberapa pengundi dan beberapa peti undi dari pusat mengundi tertentu tidak dikira.
Beliau memohon mahkamah membatalkan keputusan pilihan raya itu dan pemilihan baharu diadakan.
Pada 26 Februari lalu, Mahkamah Tinggi Kota Bharu membatalkan petisyen difailkan Mohd Azmi selepas menerima semua tiga alasan dalam bantahan awal Azizi termasuk tarikh petisyen difailkan melebihi had masa yang ditetapkan selama 28 hari mengikut Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.
Bagaimanapun pada 19 Jun lalu, Mahkamah Persekutuan memerintahkan petisyen berkenaan dibicarakan secara penuh selepas mendapati ada kekhilafan dalam keputusan yang dibuat oleh Mahkamah Tinggi Kota Bharu.