7 SEPT : Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) hari ini menetapkan had pembelian beras putih tempatan (BPT) maksimum 100 kilogram (kg) bagi setiap individu atau syarikat, berkuat kuasa serta-merta.
Keputusan itu dibuat sebagai sebahagian daripada usaha kerajaan untuk mengatasi gangguan bekalan beras di pasaran.
Ketua Pengarah Kawal Selia Padi dan Beras, Datuk Azman Mahmood berkata keputusan itu diambil susulan dgangguan bekalan BPT di pasaran dikenal pasti berpunca daripada pembelian secara pukal terutama dalam kalangan peniaga.
Katanya, terdapat segelintir peniaga membeli BPT sehingga 600 kampit untuk menjimatkan kos dan mengaut keuntungan mudah.
“Peniaga kononnya mahu menurunkan kos yang perlu ditanggung mereka dengan membuat pembelian BPT antara 500 hingga 600 kampit.
“Bagaimanapun, peniaga dilihat masih mengekalkan harga nasi di premis masing-masing pada kadar sama. Tiada penurunan harga berlaku walaupun mereka membeli BPT secara pukal.
“Justeru, kita lihat ada keperluan mengehadkan kuantiti pembelian BPT mengikut ketetapan dalam peraturan sedia ada walaupun ia tidak pernah dikuatkuasakan sebelum ini,” katanya
Semalam, Menterinya, Datuk Seri Mohamad Sabu menjamin bekalan BPT itu akan pulih di seluruh negara dalam tempoh sebulan.
Sementara itu, Azman menggesa pemborong dan peruncit mematuhi penetapan berkenaan bagi mengelak dikenakan tindakan, termasuk pembatalan lesen ke atas mereka.
“Pihak syarikat yang dikenal pasti gagal mematuhi penetapan ini juga boleh didenda RM25,000 untuk kesalahan pertama, manakala RM50,000 bagi kesalahan kedua dan seterusnya.
“Individu persendirian pula boleh didenda RM15,000 bagi kesalahan pertama, manakala RM25,000 bagi kesalahan kedua dan seterusnya,” katanya.
Dalam pada itu, Azman yang juga Setiausaha Bahagian Industri Padi dan Beras berkata berkait dakwaan wujudnya manipulasi bekalan BPT pihaknya belum menerima sebarang bukti melibatkan pihak yang dikatakan menukarkan bungkusan BPT kepada beras import.
Ahad lalu, Mohamad Sabu berkata pihaknya mengesyaki wujud tindakan memanipulasi bekalan BPT dengan menukarkan bungkusannya kepada kampit beras import dipercayai untuk meraih keuntungan mudah.