8 SEPT : Mahkamah Pilihan Raya Melaka mengeluarkan waran tangkap terhadap dua saksi kerana gagal hadir pada perbicaraan petisyen pilihan raya kerusi Parlimen Masjid Tanah.
Hakim Datuk Abu Bakar Katar mengeluarkan waran terhadap Pengerusi Tetap Pemuda Bersatu, Akmal Zahin Zainal Zahir dan bekas setiausaha sulit Ahli Parlimen Masjid Tanah, Noor Hashimah Noordin kerana gagal hadir sebagai saksi.
Petisyen dikemukakan oleh calon Barisan Nasional (BN), Abdul Hakim Abdul Wahid itu dalam usaha untuk membatalkan kemenangan Ahli Parlimen Masjid Tanah, Datuk Mas Ermieyati Samsudin yang juga Ketua Bersatu Masjid Tanah, pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Akmal diarahkan hadir ke mahkamah untuk memberi keterangan berkenaan dakwaan beliau memberi sogokan kepada pengundi ketika PRU15 di kerusi Parlimen Masjid Tanah.
Peguam Mohd Faizi Che Abu yang mewakili Mas Ermieyati mengesahkan perkara itu.
“Mereka berdua adalah dalam senarai saksi kepada pempetisyen sendiri. Jadi mereka tidak memberi kerjasama kepada pempetisyen. Pempetisyen telah sapina dua saksi ini.
“Oleh itu, pempetisyen sendiri yang memohon waran tangkap terhadap saksi sapina mereka,” katanya, lapor Bernama.
Ketika perbicaraan, video Akmal memberikan sampul yang dipercayai mengandungi wang kepada pengundi dalam Parlimen Masjid Tanah telah dikemukakan ke mahkamah.
Mahkamah Pilihan Raya menetapkan Isnin ini untuk kedua-dua saksi menghadiri prosiding.
Mas Ermieyati memenangi kerusi itu dengan majoriti 4,411 undi atas tiket Perikatan Nasional-Bersatu dalam pertembungan empat penjuru menentang Abdul Hakim, Mutalib Uthman (MUDA) dan Handrawirawan Abu Bakar (GTA-Pejuang).