11 SEPT : Persidangan khas Dewan Rakyat hari ini bermula kecoh susulan usul tergempas berkait keputusan Jabatan Peguam Negara (AGC) terhadap 47 kes Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi ditolak.
Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal mengemukakan usul tergempar bagi memanggil Peguam Negara (AG) untuk menjelaskan keputusan melepas tanpa membebaskan (DNAA) Zahid daripada 47 pertuduhan berkait Yayasan Akalbudi.
Usul yang dikemukakan Jumaat lalu itu ditolak Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul, hari ini.
Johari menegaskan usul itu sudah ditolak namun memaklumkan akan memberi ruang kepada Wan Ahmad Fayshal untuk berucap selepas urusan pembentangan Kajian Separuh Penggal (KSP) Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12) oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim selesai.
“Usul (sudah) ditolak. Saya beri ruang (untuk bercakap) sebab (usul sudah) ditolak. Jadi, jangan tanya sekarang,” kata Johari.
Zahid dilepas tanpa dibebaskan (DNAA) oleh Mahkamah Tinggi pada 4 September lalu bagi semua 47 pertuduhan iaitu lapan tuduhan rasuah, 12 pecah amanah dan 27 pengubahan wang haram membabitkan dana Yayasan Akalbudi.
Pihak pendakwaan memaklumkan kepada Mahkamah Tinggi mereka mahu menghentikan prosiding berkenaan.
Keputusan ini bermakna pendakwaan boleh meneruskan kes ini, atau mengemukakan kes terhadap Zahid pada bila-bila masa nanti berdasarkan fakta dan keterangan yang serupa dalam kes ini.
Zahid yang sebelum ini diperintahkan membela diri atas semua pertuduhan, didakwa menggelapkan jutaan ringgit daripada yayasannya, Yayasan Akalbudi dan menerima rasuah untuk pelbagai projek sepanjang menjadi menteri dalam negeri antara 2013 dan 2018.
Hakim Collin dalam keputusannya berkata beberapa alasan diberikan pendakwaan termasuk terdapat keperluan menyiasat tuduhan dengan lebih lanjut dan alasan penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat kandungan buku ‘My Story: Justice in The Wilderness’ oleh bekas peguam negara, Tan Sri Tommy Thomas.
Katanya, oleh kerana siasatan masih dijalankan dan lanjutan daripada respresentasi yang dikemukakan pembelaan, adalah wajar bagi pihak pendakwaan memerlukan lebih banyak masa untuk meneliti representasi yang membabitkan pihak berkuasa mengambil kenyataan daripada beberapa individu.
Katanya lagi, walaupun penubuhan RCI tidak menyatakan garis masa dan bagaimana ia akan dilakukan, ia tidak menunjukkan bahawa kes terbabit sudah mencapai penamatnya.