11 SEPT : Kerajaan dijangka melaksanakan Program Subsidi Bersasar sepenuhnya tahun hadapan setelah Sistem Pangkalan Data Utama (PADU) lengkap dengan maklumat sosio ekonomi isi rumah di negara ini.
Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli berkata tempoh percubaan PADU bermula November ini dan dijangka dibuka kepada orang ramai pada Januari 2024.
Menurutnya, kerajaan perlu memastikan PADU lengkap dengan data diperlukan bagi memastikan tiada keciciran.
“Selepas PADU diuji dan disahkan dengan kita mencapai sasaran maklumat isi rumah sudah berada sepenuhnya di dalam sistem, ia akan membolehkan kerajaan membuat keputusan bila subsidi bersasar boleh dimulakan.
“Apabila PADU sudah beroperasi dan dibuka kepada orang ramai pada Januari 2024 insya-ALLAH proses ini akan mula dilaksanakan.
“Program Subsidi bersasar akan bermula tahun 2024,” katanya pada sidang akhbar di Lobi Parlimen, hari ini.
Mengulas lanjut soal mekanisme perlaksanaan itu, Rafizi berkata kerajaan meneliti sama ada menerusi pindahan tunai, pemberian kad khas atau agihan di pam stesen minyak. Katanya, perkara itu akan diputuskan dari semasa ke semasa.
“Keutamaan kita sekarang adalah maklumat sosio ekonomi isi rumah kena lengkap dulu dalam PADU.
“Itu lebih penting berbanding kita mahu guna kad pengenalan, pindahan (kredit) terus ke akaun atau mahu pakai pam,” katanya.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 15 Mei lalu berkata pelaksanaan PADU itu diputuskan dalam mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) yang akan menggabungkan sebanyak mungkin maklumat sosio ekonomi bagi setiap isi rumah yang dapat membantu kerajaan menggubal dasar dan menyasarkan subsidi.
Katanya, menerusi PADU juga kerajaan dapat mengenal pasti ketirisan yang wujud sekali gus menambah baik pelaksanaan sistem subsidi kepada golongan sasaran.