RMKe-12 mampu dibiayai dengan basmi rasuah, pembaziran
12 SEPT: Kerajaan mampu menambah peruntukan RM15 bilion di dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12) melalui usaha membasmi rasuah, ketirisan dan pembaziran.
Penganalisis ekonomi dari Putra Business School (PBS), Prof Madya Dr Ahmed Razman Abdul Latiff berkata rasuah dan pembaziran menjejaskan keupayaan negara untuk menggalakkan pertumbuhan yang mampan dan inklusif.
“Saya melihat pertambahan jumlah peruntukan RM400 bilion kepada RM415 bilion yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini adalah perkara yang mampu dilakukan sekiranya kerajaan komited melakukan penjimatan antaranya dengan membasmi rasuah dan pembaziran.
“Hal ini (rasuah) dilihat mampu mengurangkan keyakinan pelaburan tempatan dan asing terutamanya yang boleh mewujudkan pekerjaan bernilai tinggi dan aktiviti ekonomi manakala pelaburan asing yang bersifat eksploitasi akan kekal berkembang dengan rasuah di tahap yang tinggi.
“Selain itu, inisiatif kerajaan untuk membatalkan projek-projek yang telah lama yang diluluskan termasuk projek dalam Rancangan Malaysia terdahulu tetapi belum dapat dimulakan dalam tempoh masa yang munasabah juga mampu membawa kepada penjimatan sekaligus mampu membiayai jumlah penambahan peruntukan itu.
“Kerajaan perlu tegas dalam membasmi permasalahan ini demi menjamin kestabilan ekonomi negara,” katanya kepada BBC Portal.
Dalam pada itu, beliau berkata penambahan peruntukkan RMKe-12 tidak mustahil apabila kerajaan berjaya melakukan penjimatan dengan menukar subsidi secara pukal kepada subsidi secara bersasar.
Jelas beliau, inisiatif itu dilihat mampu menjana pendapatan negara memandangkan ekonomi negara tidak mampu bertahan sekiranya subsidi berterusan diberikan secara pukal seperti sekarang.
“Menukar subsidi pukal kepada subsidi bersasar akan turut dapat mengurangkan perbelanjaan yang lain, sekali gus membolehkan lebih banyak peruntukan digunakan di bawah RMK12,” katanya.
Pada masa sama, beliau berkata harga minyak yang kekal tinggi membolehkan kerajaan mendapat dividen yang tinggi daripada Petronas di samping pengenalan cukai baharu pada 2024 iaitu CGT yang mampu meningkatkan pendapatan negara.
Semalam, Anwar yang juga Menteri Kewangan mengumumkan kerajaan akan membelanjakan sepenuhnya peruntukan RM400 bilion di bawah RMKe-12 dan menambah siling RM15 bilion lagi menjadikan jumlah keseluruhannya RM415 bilion
Sehubungan itu, beliau berkata kerajaan komited untuk membelanjakan sekurang-kurangnya RM90 bilion setahun bagi 2023 hingga 2025.
“Ini bermakna, kerajaan akan membelanjakan sepenuhnya peruntukan RM400 bilion di bawah RMK12 dan menambah siling sebanyak RM15 bilion lagi, menjadikan jumlah keseluruhannya RM415 bilion.
“Peningkatan ini adalah bagi menambah keperluan untuk membiayai bidang keutamaan rakyat di samping memperbaiki mutu pengurusan dan menyasarkan semula subsidi bagi menampung keperluan asas rakyat,” katanya. OLEH : AISYAH BADRUL
Foto : Facebook Anwar Ibrahim