13 SEPT : Kerajaan perlu segera mengimport beras dari negara pengimport beras lain seperti Vietnam, Thailand dan Pakistan dengan segera bagi memastikan bekalan dalam negara mencukupi.
Datuk Seri Dr Wee Jeck Seng (BN-Tanjung Piai) berkata kerajaan perlu mencari alternatif bagi memastikan keterjaminan makanan negara susulan kesan kenaikan harga beras dunia mengakibatkan Malaysia perlu bersaing dengan negara jiran seperti Indonesia dan Filipina yang kini turut mempunyai krisis kekurangan bekalan beras tempatan.
“Negara kita hanya dapat menampung 62 peratus bekalan beras bagi kegunaan tempatan. Untuk menampung 38 peratus bekalan beras ini, Malaysia harus bertindak segera kerana perlu bersaing untuk mendapatkan dan memenuhi bekalan beras bagi kegunaan tempatan.
“Hal ini kerana negara seperti Indonesia dan Filipina kini sedang mencari sumber alternatif bagi memenuhi keperluan beras mereka akibat cukai import beras dari India yang telah memberi kesan kepada pasaran beras india terutama di rantau Asia Tenggara.
“Kerajaan perlu mengambil peluang dengan mengimport beras dari negara pengimport beras seperti Pakistan, Vietnam dan Thailand untuk mengatasi masalah yang semakin meruncing ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika membahaskan usul Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12) di Dewan Rakyat, hari ini.
Dalam pada itu, bagi mengawal permasalahan keterjaminan makanan ini, Wee Jeck turut menyarankan Kementerian Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup menggunakan pendekatan kebajikan mengawal harga makanan supaya kenaikan harga makanan tidak berlaku dengan terlalu mendadak.
Pada masa sama, katanya, kerajaan perlu memastikan bekalan makanan terjamin serta melihat cara strategik bagi mengawal inflasi dan mengurangkan beban wang dalam kalangan rakyat.
“Kenaikan harga mendadak ini akan menyebabkan golongan B40 dan M40 semakin susah untuk mendapatkan keperluan karbohidrat seharian dan ianya turut meningkatkan kerisauan rakyat Malaysia di masa yang agak mencabar ini.
“Saya yakin, kita mampu menghadapi cabaran ini jika bersatu tenaga sekali gus membawa Malaysia kearah kestabilan dan kemakmuran yang lebih berkekalan,” katanya. OLEH : AISYAH BADRUL