13 SEPT : Pemisahan kuasa antara peguam negara (AG) dan pendakwa raya dalam tempoh setahun akan datang merupakan langkah terbaik bagi meyakinkan rakyat bahawa semangat reformasi dalam kerajaan masih membara.
Dalam pada itu, Lim Guan Eng (PH-Bagan) menggesa Jabatan Peguam Negara (AGC) memberi penjelasan lanjut berhubung keputusan melepas tanpa membebaskan (DNAA) Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi daripada 47 pertuduhan rasuah.
Katanya, hanya dengan penjelasan daripada peguam negara dapat meyakinkan rakyat kerana kerajaan perlu mengakui banyak pihak termasuk Majlis Peguam tidak berpuas hati terhadap keputusan itu.
“Hanya dengan langkah ini barulah saya percaya dapat meyakinkan rakyat bahawa semangat reformasi yang ada dalam Kerajaan Perpaduan masih membara lagi dan bukan seperti yang dilaungkan oleh pihak tertentu,” katanya semasa perbahasan Kajian Separuh Penggal (KSP) Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12) di Dewan Rakyat, hari ini.
Pada sesi sama, Datuk Dr Radzi Jidin (PN-Putrajaya) mempersoal jika Guan Eng menjangka berlaku pertukaran Peguam Negara, sebelum Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) seperti yang disebut Datuk Seri Mohamad Sabu (PH-Kota Raja), sebelum ini.
Menegaskan bahawa Peguam Negara yang dilantik oleh kerajaan lepas masih dikekalkan oleh Kerajaan Perpaduan, Guan Eng menyelar tindakan Radzi dengan meminta beliau berhenti memainkan isu politik di dalam Parlimen yang tidak membawa kebaikan kepada negara.
Semalam, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said memaklumkan kerajaan bakal menubuhkan dua pasukan petugas khas bagi mempercepatkan reformasi pengasingan kuasa peguam negara (AG) dan pendakwa raya
Penubuhan Pasukan Petugas Khas Kajian Komparatif dan Pasukan Petugas Khas Teknikal itu dipersetujui ketika mesyuarat penelitian agenda reformasi pengasingan peranan itu, semalam. OLEH : AISYAH BADRUL