GST kembali jika isu miskin tegar, subsidi, taraf hidup selesai
13 SEPT: Pembasmian miskin tegar, penyelarasan subsidi dan peningkatan taraf hidup masyarakat perlu dilaksanakan terlebih dahulu sebelum kerajaan mengembalikan cukai barang dan perkhidmatan (GST).
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata kerajaan memerlukan masa sesuai untuk melaksanakan GST kerana dikhuatiri akan menjejaskan golongan kurang berkemampuan.
“GST adalah sistem cukai paling telus dan efisien tapi bila kita laksanakannya? Ia bergantung pada keadaan . Apabila rakyat hidup dalam miskin tegar, anda perlu memperkenalkan dasar cukai progresif, tetapi bukan dasar asas meluas yang memberi kesan kepada golongan sangat miskin.
“Jadi, anda perlu beri sedikit masa, namun adakah anda langsung tidak melakukan apa-apa? Tidak. Anda perlu meluaskan asas cukai, sudah tentunya. Tetapi perlu terlebih dahulu kurangkan subsidi kepada orang kaya,” katanya dalam sesi khas Sidang Kemuncak Asia Ke-10 Institut Milken di Singapura, hari ini.
Dalam pada itu, Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata kerajaan perlu mengambil kira isu-isu lain seperti petrol dan penyeludupan di sempadan sebelum melakukan pelaksanaan semula GST.
Tambah Anwar, subsidi bersasar yang bakal dilaksanakan tahun depan juga dapat menjimatkan perbelanjaan negara sekali gus mengurangkan kebergantungan subsidi.
“Kita perlu mula tingkatkan tatakelola, hentikan ketirisan, korupsi dan bergerak ke depan. Kalau nak kata pelaksanaan dalam beberapa tahun akan datang, adalah bila isu miskin tegar dapat ditangani, tingkatkan taraf hidup rakyat, lepas itu baru bergerak ke sistem cukai broad-based,” katanya.
*Foto : Suhairi / Prime Minister’s Office of Malaysia