15 SEPT : Rakyat Malaysia diseru menyemarakkan semangat sambutan Hari Malaysia tanpa mengira lokasi pada 16 September ini.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata rakyat di Semenanjung khususnya di Putrajaya wajib menjayakan perayaan ini dengan semangat yang sama seperti rakyat di Sabah dan Sarawak walapun sambutan itu diadakan di Kuching.
“Semangat patriotisme kepada negara harus diterjemahkan dengan komitmen tinggi daripada seluruh masyarakat bagi menyemarakkan bukan saja sambutan Hari Malaysia tetapi juga Hari Kebangsaan.
“Sambutan berkenaan bukan saja untuk menyuburkan semangat patriotisme, malah mampu menjadi tali pengikat utama kepada perpaduan bangsa di negara ini,” katanya.
Beliau berkata demikian berucap pada Majlis Perasmian Penutupan Kembara Merdeka Desa Madani Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) 2023, hari ini.
Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata bagi menyemarakkan lagi semangat kemerdekaan dalam kalangan warga kementerian dan rakyat Malaysia, beliau mewajibkan KKDW untuk mengadakan Kembara Desa itu pada setiap tahun.
“Program ini adalah manifestasi menyemarakkan lagi semangat patriotik dalam kalangan komuniti, terutama masyarakat luar bandar, sempena sambutan Bulan Kebangsaan,” katanya.
Kembara itu berkonsepkan jelajah berkonvoi dengan motosikal ‘kapcai’ merentasi lima negeri bermula di Pulau Pinang, diikuti Perak, Selangor, Negeri Sembilan sebelum berakhir di Dataran Gemilang, Putrajaya.
Pada masa sama, ia bertujuan mempromosikan program-program anjuran Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) kepada orang ramai.