16 SEPT : Indonesia meningkatkan import beras bagi lapan bulan pertama tahun ini berbanding tahun lalu ketika republik itu berusaha meningkatkan stok simpanan kata agensi perangkaannya.
Pemerintah Indonesia menetapkan kuota beras import sebanyak 2.3 juta tan pada tahun ini bagi mengekalkan kestabilan harga kerana dijangka gangguan pengeluaran beras akibat fenomena El Nino.
Kebanyakan beras import dari negara jiran, Thailand yang menghantar 802,000 tan beras dan Vietnam mengeksport 674,000 tan beras sepanjang tempoh berkenaan.
Ketua Badan Pusat Statistik Indonesia, Amalia Adininggar Widyasanti berkata negaranya mengimport 1.59 juta tan beras dari Januari hingga Ogos tahun ini manakala lebih 429,000 tan beras diimport untuk keseluruhan 2022.
“Import beras dari Januari dan Ogos 2023 mengalami peningkatan yang agak tinggi, berbanding tempoh yang sama tahun lalu,” katanya.
Namun, beliau tidak mendedahkan angka import bagi tempoh yang sama tahun lepas.
Sementara itu, Presiden Indonesia, Joko Widodo mendakwa isu beras berdepan kesukaran akibat sekatan import oleh negara lain termasuk India.
“Kami mahu mengukuhkan kedudukan strategik beras kami, tetapi mengimport beras juga agak sukar, tidak seperti dahulu,” katanya.
Harga beras global meningkat ke paras tertinggi dalam tempoh 15 tahun pada minggu lalu selepas keputusan pengeluar utama beras, India menghentikan eksport beras bukan basmati, Julai lalu susulan beberapa faktor termasuk harga domestik yang melambung tinggi dan keadaan iklim yang melampau.