18 SEPT: Kerajaan MADANI di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tekad dan komited dalam menyelamatkan Malaysia daripada gejala rasuah, kata Datuk Seri Azalina Othman Said.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) itu berkata, Anwar sudah meminta agensi-agensi berkenaan menyiasat pihak yang bertanggungjawab atas kerugian yang ditanggung negara akibat rasuah .
“Selain daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Perdana Menteri juga meminta agensi lain termasuk Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Bank Negara Malaysia (BNM) serta Jabatan Siasatan Komersial Polis Diraja Malaysia mengambil apa-apa langkah mengikut jalur perundangan dalam menyiasat mana-mana pihak yang bertanggungjawab atas kerugian yang ditanggung negara akibat rasuah,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menggulung perbahasan usul Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia ke-12 (KSP RMK12) di Dewan Rakyat, hari ini.
Ahli Parlimen Pengerang itu turut menjelaskan SPRM akan bertindak berdasarkan peruntukan undang-undang sekiranya terdapat asas kesalahan-kesalahan rasuah dibawah Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009.
Katanya, tidak timbul isu siapa yang keluarkan arahan tertentu kepada SPRM kerana agensi itu boleh melakukan siasatan terhadap setiap individu berdasarkan undang-undang.
“SPRM meneliti setiap perkara atau setiap maklumat yang diterima daripada semua pihak termasuklah perdana menteri, ketua pembangkang dan ahli-ahli Parlimen,” katanya.
Mengulas mengenai pendanaan politik, Azalina berkata skop dasar Rang Undang-Undang (RUU) sudah dirujuk kepada Jawatankuasa Pilihan Khas Hak Asasi Manusia, Pilihan Raya dan Reformasi Institusi di Dewan Rakyat pada 8 September lalu.
Jelas beliau, terdapat tujuh pertimbangan ketetapan dasar berkaitan RUU pendanaan politik antaranya bagi mewujudkan undang-undang baharu bagi mengawal selia sumbangan politik.
Perkara itu telah diangkat untuk pertimbangan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul pada 13 September lalu. OLEH : AISYAH BADRUL