Kerajaan lulus pelan guna tanah sepanjang laluan ECRL
18 SEPT : Kerajaan meluluskan Pelan Induk Bersepadu Guna Tanah Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) atau PeGTaECRL, hari ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata pelan itu akan memandu pembangunan di sekitar 20 stesen dan sepanjang laluan ECRL yang dikenal pasti.
Keputusan itu dicapai menerusi Mesyuarat Majlis Perancang Fizikal Negara (MPFN) ke-42.
“MPFN menjadi platform bagi kerajaan Persekutuan berbincang dengan kerajaan negeri berkaitan hal ehwal perancangan bandar dan desa serta pembangunan fizikal negara, selaras dengan Perlembagaan Persekutuan,” katanya elalui hantaran di laman Facebook selepas mempengerusikan mesyuarat itu di Putrajaya, hari ini.
Beliau berkata, mesyuarat itu turut bersetuju dengan penambahbaikan kepada proses kelulusan dalam pembinaan infrastruktur pengecasan kenderaan elektrik melalui Garis Panduan Petak Pengecasan Kenderaan Elektrik dan Prosedur Pemajuan.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, ia selari dengan transformasi industri automatif negara ke arah peralihan masa depan yang lebih mesra alam dan mampan.
“Ketersediaan infastruktur pengecasan amat penting dalam transformasi sektor automotif ini,” katanya.
MPFN ke-42 juga bersetuju terhadap keperluan pemakaian Pelan Pembangunan Geopark Negara 2021-2030 dan Pelan Pelaksanaan Geopark Negara oleh Agensi Persekutuan dengan kerjasama kerajaan negeri serta penterjemahan cadangannya dalam dokumen rancangan tempatan untuk kawalan perancangan dan guna tanah peringkat tempatan.
*Foto : Facebook Anwar Ibrahim