19 SEPT : Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) mengesyorkan agar pegawainya diberi kuasa penguatkuasaan bagi menangani isu bekalan beras yang semakin meruncing.
Pemangku Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Armizan Mohd Ali berkata perluasan penguatkuasaan itu akan dibentangkan dalam Mesyuarat Khas Majlis Tindakan Sara Hidup (NACCOL), esok.
“Kita berharap Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) dapat mempertimbangkan supaya penguat kuasa KPDN diberikan ‘extension of authority’ mengikut Sub Seksyen 6(1) Akta Kawalselia Padi dan Beras (Akta 522).
“Antara isu yang akan dibawa dan bentangkan dalam mesyuarat di peringkat jawatankuasa eksekutif esok ialah pertimbangan hasrat kita di KPDN supaya dapat diberikan ‘extension of authority’.
“Ini bukan delegation (perwakilan) tetapi ‘extension of authority’. Ia boleh dipertimbangkan secara terhad bagi tempoh masa tertentu untuk aspek penguatkuasaan itu ditingkatkan demi kepentingan bersama,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media pada Program Pemantauan Harga Barangan Keperluan Asas di Pasaraya Sri Ternak dan Pasaraya NSK Selayang di Gombak, hari ini.
Armizan berkata ketika ini KPKM mempunyai seramai 190 orang penguat kuasa manakala KPDN mempunyai 2,200 penguat kuasa.
“Aspek penguatkuasaan isu beras perlu dilakukan terhadap semua premis di seluruh negara dan sekiranya Ops Jamin melakukan pemantauan, kita perlu bergerak bersama pegawai KPKM tetapi jumlah penguat kuasa mereka agak terhad.
“KPDN melihat (mengguna kuasa mengikut) Akta Perihal Dagangan, melihat pembungkusan barang tetapi tidak boleh campur tangan aspek penentuan harga dan bekalan,” katanya.
Katanya, KPDN sedia membantu dan memberi kerjasama rapat kepada KPKM demi kepentingan masyarakat.
“Perluasan kuasa membolehkan kita (KPDN) bukan sekadar melihat memantau dan menyalurkan maklumat tetapi boleh terus mengambil tindakan penguatkuasaan.
“(Ketika ini) Kita boleh menyalur maklumat dan tidak boleh ambil tindakan serta merta tetapi jarak tempoh penyaluran maklumat serta tindakan mengambil masa, mungkin pihak berkenaan boleh menutup kesalahan itu,” katanya.