20 SEPT : Lapan reformasi sudah dilaksanakan dalam tempoh singkat di bawah pentadbiran Kerajaan Perpaduan demi kepentingan negara.
Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil berkata ia tidak termasuk reformasi-reformasi yang sedang diusahakan pada ketika ini.
“Antara reformasi institusi yang direalisasikan setakat Jun 2023 adalah pindaan Akta Jenayah Seksual Kanak-kanak 2017 dan Akta Keterangan Saksi Kanak-Kanak 2007.
“Selain itu, pemansuhan hukuman mati mandatori dan hukuman penjara sepanjang hayat serta kewujudan peruntukan baharu bagi kesalahan menghendap (stalking) dalam Kanun Keseksaan dan Kanun Tatacara Jenayah juga berjaya dilaksanakan,”kata beliau menerusi hantaran Facebooknya, hari ini.
Beliau berkata demikian merujuk kepada tindakan ahli Parlimen Muar,Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang menyifatkan kerajaan pimpinanPerdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai ‘Kerajaan NATO‘ (No Action Talk Only) atau kerajaan cakap sahaja namun tiada tindakan pada Isnin.
Fahmi turut menegaskan, seorang pemimpin perlu berhujah dengan fakta dan tidak menggunakan sentimen dan emosi.
“Tak adil untuk tuduh kerajaan ini ‘No Action Talk Only’. Semua tahu, untuk melakukan reformasi institusi, mana-mana kerajaan pun perlukan masa,” katanya.