20 SEPT : Kerajaan tidak menetapkan had tempoh kepada ahli Parlimen pembangkang mengemukakan permohonan peruntukan di kawasan masing-masing.
Perkara itu disahkan Timbalan Perdana Menteri II, Datuk Seri Fadillah Yusof yang diberi tanggungjawab untuk berunding dengan pembangkang.
Malah Fadillah juga dilaporkan berkata sehingga kini tiada mana-mana ahli Parlimen pembangkang yang menghantar surat permohonan peruntukan meski sudah dipelawa kerjaaan.
“Mereka tidak ada hantar surat permohonan sampai sekarang,” katanya.
Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika sesi penggulungan usul Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia ke-12 mengingatkan ahli Parlimen pembangkang supaya tidak angkuh dan sombong jika mahu peruntukan daripada kerajaan.
Katanya, kerajaan hari ini mencontohi apa yang dilakukan pentadbiran terdahulu, Datuk Seri Ismail Sabri yang membuka ruang rundingan dengan pembangkang sebelum peruntukan diluluskan.
Kerajaan Perpaduan juga tidak menetapkan sebarang syarat kepada Perikatan Nasional (PN) bagi membolehkan agihan peruntukan disalurkan kepada ahli Parlimen pembangkang.
Selain itu tiga Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) telah dilantik untuk mengadakan rundingan mengenai jumlah peruntukan yang bakal diterima ahli Parlimen pembangkang.
Tiga wakil itu ialah Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin; Ahli Parlimen Kota Bharu, Datuk Seri Takiyuddin Hassan dan Ahli Parlimen Putrajaya, Datuk Dr Radzi Jidin.
Sebelum ini, kerajaan menegaskan ia secara dasar bersedia memberikan peruntukan kepada pembangkang namun hanya membabitkan perbelanjaan berkaitan hal pentadbiran.