20 SEPT: Timbalan Ketua PAS Bentong, Kasim Samat sekali lagi dipertaruhkan sebagai calon Perikatan Nasional (PN) untuk Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai yang bakal berlangsung 7 Oktober ini.
Pengumuman itu dibuat Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man pada Majlis Pelancaran Jentera Pilihan Raya dan Pengumuman Calon PN PRK N36 Pelangai di Simpang Pelangai, sebentar tadi.
Kasim atau lebih dikenali dengan panggilan Cikgu Kasim pernah bertanding merebut kerusi sama pada Pilihan Raya Umum ke-15.
Beliau memperoleh 3,260 undi ketika melawan penyandangnya, Allahyarham Datuk Seri Johari Harun yang menang 7,308 undi.
Menurut Tuan Ibrahim, PAS menerima tiga nama untuk dipilih sebagai calon dan dibawa kepada Majlis Syura Ulama.
Katanya, Majlis Syura Ulamak mendapati ketiga-tiga nama itu layak seterusnya dipertimbangkan parti yang terbaik dari kalangan mereka mengikut syarie.
“Lalu parti bincang semua terbaik, siapa hampir dengan pengundi sebab dia nak jaga rakyat.
“Jadi kita pilih calon dari Pelangai yang bergelumang dengan tuan-tuan, bukan yang lahir di sini tapi duduk di Kuala Lumpur atau tempat lain
“Dengan lafaz bismillahirrahmannirrahim saya dengan ini mengumumkan calon yang telah disepakati PN yang akan bertanding di DUN Pelangai. Seorang bekas guru, Pengerusi Pertubuhan Silat Gayung Malaysia Negeri Pahang, PN sepakat dan setuju mencadangkan Cikgu Kasim Samat,” katanya.
Johari antara 10 individu yang terkorban dalam nahas pesawat terhempas di Lebuhraya Guthrie berhampiran Bandar Elmina, Shah Alam, 17 Ogos lalu.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 7 Oktober depan sebagai hari pengundian bagi PRK Pelangai manakala tarikh bagi hari penamaan calon ditetapkan pada 23 September.