21 SEPT : Identiti dua penunggang motosikal yang maut dalam kejadian rempuhan sebuah treler di KM5.7 Jalan Persiaran Utara menghala Puchong di Putrajaya semalam, sudah dikenal pasti.
Ketua Polis Daerah Putrajaya, ACP A. Asmadi Abdul Aziz berkata, mangsa dikenal pasti sebagai Faris Haziq Abu Bakar, 25 kakitangan Pos Malaysia dan Yuswar Mohd Uyus, 39 kakitangan Mahkamah Ampang.
Menurutnya, pengecaman Faris dibuat ayahnya, manakala Yuswar oleh isterinya di Unit Forensik Hospital Putrajaya kira-kira 5.30 petang, semalam.
“Post mortem (bedah siasat) kedua-dua mangsa akan akan dibuat esok (hari ini),” katanya dalam satu kenyataan.
Allahyarham Yuswar dikatakan sedang dalam perjalanan ke Istana Kehakiman Putrajaya atas urusan rasmi.
Sementara itu, Asmadi turut memaklumkan maklumat terkini tentang jumlah sebenar mangsa yang terlibat dalam kemalangan itu seramai 14 orang termasuk yang meninggal dunia berbanding lapan yang dilaporkan sebelum ini.
Manakala jumlah keseluruhan kenderaan terlibat dalam kemalangan itu ialah 14 buah iaitu sebuah treler, sebuah lori, tujuh kereta serta lima motosikal termasuk sebuah motosikal polis trafik.
Dua pemandu kereta Karli Rastio, 69 dan Abdul Latif Ahmad, 58 dilaporkan mengalami kecederaan parah dan masing-masing dirawat di zon merah Hospital Putrajaya dan Hospital Serdang.
Pemandu treler berkenaan mengalami luka ringan di tangan sementara baki mangsa yang terlibat katanya ada yang mengalami patah tangan dan ada juga yang tidak mengalami sebarang kecederaan.
Beliau berkata, ujian air kencing terhadap pemandu treler didapati negatif dan pemandu itu akan direman hari ini bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan.
Semalam, sebuah treler dilaporkan hilang kawalan lalu melanggar susur jalan dan masuk ke jalan bertentangan sebelum merempuh sebuah lori kecil menjadi punca kemalangan 12 kenderaan yang meragut dua nyawa itu.