Masyarakat Sarawak model, contoh terbaik perpaduan
21 SEPT : Masyarakat di Semenanjung wajar mencontohi keharmonian masyarakat di Sarawak yang berbilang etnik bagi memupuk perpaduan antara kaum.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata pendekatan itu mampu menamatkan ketegangan yang berlaku dalam kalangan masyarakat di Semenanjung ketika ini.
“Persefahaman serta saling membantu dan menghormati tanpa mengira latar belakang, kebudayaan dan kepercayaan setiap etnik yang ditunjukkan oleh masyarakat di Sarawak wajar dihayati oleh masyarakat Semenanjung bagi memupuk perpaduan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Pertukaran Dokumen Memorandum Persefahaman antara Petronas dan Yayasan Sarawak, hari ini.
Dalam pada itu, Fadilah yang juga Menteri Perladangan dan Komoditi turut menyarankan rakyat Sarawak terutama pelajar yang terpilih untuk meneruskan pengajian di Semenanjung agar menjadi duta bagi mengetengahkan keharmonian dan perpaduan bagi dicontohi semua pihak.
Jelas beliau, ini kerana persefahaman serta sikap saling menghormati dan membantu yang begitu kuat dalam kalangan rakyat Sarawak wajar dijadikan model di seluruh Malaysia.
“Di Sarawak, kita tak ada rasa perbezaan mengenai latar belakang masyarakat tetapi boleh hidup sebagai keluarga tanpa mengira latar belakang, kebudayaan, kepercayaan masing-masing.
“Kita perlu memainkan peranan sebagai rakyat Sarawak yang dapat menghidupkan semangat keluarga besar negara kita,” katanya.
Justeru, beliau berharap agar rakyat di Semenanjung dapat hidup dalam keadaan harmoni sekaligus mengurangkan pertelagahan yang berlaku ketika ini.
*Foto : Facebook Fadillah Yusof