22 SEPT : Malaysia menyambut baik inisiatif Arab Saudi untuk menamatkan konflik dan memulakan semula proses politik di Yaman.
Pengisytiharan dari Kementerian Luar Arab Saudi pada 14 Sept itu adalah satu langkah ke arah membina keamanan yang berkekalan serta penyelesaian politik berdaya maju yang boleh diterima oleh semua pihak.
Menerusi kenyataan yang dikeluarkan oleh Kementerian Luar (Wisma Putra), Malaysia memuji usaha yang diketuai oleh Kerajaan Arab Saudi, Kesultanan Oman dan Duta Khas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Yaman bagi menamatkan krisis di negara itu.
“Ini sudah tentu akan menyumbang kepada keamanan, keselamatan dan kestabilan di rantau ini,” katanya.
Terdahulu, Agensi Akhbar Saudi (SPA) melaporkan Arab Saudi menjemput delegasi Houthi Yaman ke Riyadh untuk melanjutkan rundingan gencatan senjata.
Menurut SPA, Arab Saudi mahu menyambung semula usahanya dengan Oman untuk mencapai persetujuan gencatan senjata yang kekal dan menyeluruh di Yaman .
Pada masa sama, Arab Saudi juga mahu penyelesaian politik yang mampan serta boleh diterima oleh semua parti Yaman.